KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus proaktif melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan keberadaan dan harga barangan makanan termasuk keperluan asas stabil serta munasabah dalam mengharungi situasi sukar ketika ini.

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata terdapat dua isu utama yang menimbulkan keresahan dalam pengguna di negara ini, masing-masing membabitkan faktor bekalan dan harga barangan keperluan di pasaran.

“Kita peka terhadap keluh-kesah rakyat, dengan kuasa berbelanja (kuasa beli) dalam kalangan pengguna turut terkesan sejak berlakunya penularan pandemik Covid-19, terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, kementerian sudah melaksanakan pelan tindakan segera, khususnya membabitkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan bagi memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas Agenda Awani – CoVID19: Belanjawan 2021 Dan Cabaran Mengurus Impak Pandemik yang disiarkan melalui Saluran 501 – Astro Awani, di sini malam tadi.

Alexander dalam temu-bual khas Agenda Awani – Covid19: Belanjawan 2021 Dan Cabaran Mengurus Impak Pandemik, malam tadi.

Mengulas lanjut, Alexander berkata tindakan itu bagi mengelak berlakunya pembelian panik kerana rakyat yakin bekalan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi di pasaran, selain boleh diperoleh pada harga berpatutan dan tidak membebankan.

“Ia juga bagi memastikan golongan peniaga sentiasa mematuhi peraturan dikuatkuasakan serta tidak mengambil kesempatan dalam keadaan sukar ketika ini sehingga boleh menjejaskan usaha kerajaan merekonstruktif ekonomi domestik negara,” katanya.

Menurut Alexander, sepanjang 18 Mac hingga 10 November 2020, sejumlah 476,912 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. 

Katanya sebanyak 4,684 kertas siasatan dibuka mengikut pelbagai akta di bawah KPDNHEP membabitkan nilai rampasan lebih RM60 juta.

“Sejak bermulanya pelaksanaan PKP, sebanyak 3,434 kes sudah dikompaun membabitkan nilai keseluruhan membabitkan RM1.5 juta. 

“Ada satu kes penjualan topeng muka (face mask) pada harga RM11 (sekeping) yang disifatkan terlalu tinggi dan seolah-olah cuba mengambil kesempatan. 

“Ini sudah disabitkan kesalahan dan didenda RM200,000… tidak berbaloi. Ia isyarat jelas bahawa kita tidak boleh berkompromi dalam hal sebegini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP sentiasa berusaha memastikan program penyeragaman harga barang di Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan berkesan, terutama selepas diberi peruntukan RM40 juta dalam Belanjawan 2021 berbanding RM20 juta tahun sebelumnya. 

Jelasnya, terdapat beberapa faktor dikenal pasti mempengaruhi perbezaan harga barang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, termasuk kos logistik yang tinggi, saiz pasaran kecil, e-dagang masih belum berkembang sepenuhnya dan polisi ‘local first’.

“KPDNHEP kini dalam proses menyediakan satu nota makluman kepada jemaah menteri mengenai isu ketidakseragaman harga barang di Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung bagi membantu merangka mekanisme penyelesaian yang perlu.

“Ini termasuk memperkasakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (Port to Port) serta Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming dengan memanfaatkan peruntukan di bawah Belanjawan 2021,” katanya.

Katanya, kerajaan turut menanggung kos pengangkutan dari pembekal ke kawasan pedalaman terpilih untuk tujuh barangan keperluan bersubsidi/kawalan seperti gula putih bertapis kasar, tepung gandum kegunaan am, minyak masak sawit tulen, beras putih, gas petroleum cecair LPG, petrol RON95 dan diesel bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk di kawasan terbabit.