BINTULU: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara telah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu(JPBB), Jack Aman Luat berkata pusat pemindahan sementara itu adalah balai raya Kampung Assyakirin Fasa 1.

Dengan pertambahan itu, menjadikan 12 pusat pemindahan sementara kesemuanya, katanya yang juga Residen Bahagian Bintulu.

Sebelum ini, terdapat sebelas pusat pemindahan sementara disediakan bagi Daerah Bintulu, manakala empat di Daerah Sebauh dan sebelas bagi Daerah Tatau.

Pada masa yang sama, Jack berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi sesuai dijadikan pusat pemindahan sementara dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang termasuk membabitkan penduduk rumah panjang di kawasan pedalaman di Sebauh dan Tatau.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan mengguna sekolah berdekatan sebagai pusat pemindahan sementara bagi menempatkan penduduk rumah panjang yang terjejas banjir kelak.

“Kita akan merujuk sekali gus berunding dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu termasuk Sebauh dan Tatau untuk perkara ini terutama yang membabitkan pemindahan penduduk rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman(Sebauh dan Tatau),”katanya lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superintenden Jame Reis, Pegawai Daerah Bintulu Mohamad Dino Amid, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Pegawai Daerah Tatau Barayan Lenya hadir sama.