KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang mengaku tidak bersalah merogol teman wanita di bawah umur dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan semalam.

Hakim Mahkamah Khas Kanak-kanak Jason Juga mengarahkan lelaki berusia 20 tahun dari Kampung Samariang Batu itu dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pengurusan kes pada 11 Disember depan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh disyaki melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Padungan di sini pada September lalu.

Menurut laporan kes, tertuduh merupakan teman lelaki mangsa dan telah mengenali sesama mereka pada September 2019.

Mereka pertama kali bertemu di sebuah hotel bajet dan kejadian rogol berkenaan berlaku di situ.