Tegas, teliti serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Apabila memberi arahan dan tunjuk ajar, kata-kata yang lemah lembut serta penuh sinis sentiasa menghantui kami sebagai wartawan.

Meskipun 10 tahun sudah berlalu, kata-kata perangsang Bekas Pengarang Kosmo! akhbar kompak Kumpulan Utusan, Datuk Baharom Mahusin sentiasa segar di hati kami dan diingati sampai akhir hayat.

Yang pasti, beliau merupakan pemimpin dan editor hebat… tidak pernah pilih kasih. Tidak susah menjadi wartawan yang berjaya.

Apa yang perlu ialah rajin membaca, jangan melatah apabila ditegur, belajar daripada kesilapan dan berlumba untuk bersaing menjadi terbaik. Itulah kata-kata nasihat Ketua Pengarang Sinar Harian tersebut.

Sikap cerewet tentang penghasilan berita untuk menjadikan berita tersebut segar, menarik serta memiliki kelainan antara penangan Datuk Baharom diingat sampai bila-bila.

Ketika masih bergelar wartawan, Datuk Baharom pernah berjanji pada kami. Dinding pejabat Kosmo! akan dipecahkan dan ia menunjukkan Kosmo! semakin berkembang.

Perkataan itu, sudah terbukti apabila pejabat kami dibesarkan setahun kemudian (2006) seterusnya menjadi sebuah akhbar berpengaruh dengan jualan melebihi 250,000 naskhah sehari.

Sepanjang menjadi wartawan, pejabat Kosmo! menjadi rumah kedua kami. Kerja hampir 24 jam menjadi suatu kebiasaan sebagai seorang wartawan terutama melibatkan isu kes yang besar. Jika berlaku kesilapan ejaan, nama dan fakta – herdikan serta ceramah antara asam garam bagi kami.

Apabila baru sampai di tangga rumah ketika balik dan diarahkan kembali ke pejabat adalah perkara biasa bagi kami. Ini menunjukkan sesuatu berita yang ditulis tidak menepati kehendak editor.

Bersama Datuk Baharom, cukup simple apa yang penting setiap tugasan yang diamanah perlu dibuat tanpa sebarang alasan gagal.

Sepanjang menjadi wartawan, pernah diarahkan melakukan rondaan sebanyak tiga kali di lokasi kemalangan terutama untuk mendapat infografik menarik serta menjadi berita ditulis lebih menarik. Antara kes terbesar Datuk Sharifah Aini yang mempunyai krisis dengan Datuk Siti Nurhaliza, kami membuat tanpa gagal.

Masih segar dalam ingatan apabila menyamar sebagai ahli keluarga Datuk Sharifah Aini dalam Hospital PPUM dan dikerahkan ke TV3 lewat malam semata-mata untuk meminjamkan video rakaman kes terbabit.

Membuat liputan kes Anwar Ibrahim kami terpaksa berkampung di kawasan rumah sudah menjadi kebiasaan. Bagi setiap wartawan, berita susulan terutama ketika waktu hendak balik antara yang dielakkan.

Namun ia adalah sumber berita utama bagi kami, lagi lewat dan panas berita lagi menarik untuk diketengahkan serta dimainkan di muka depan akhbar.

Kami antara wartawan pelopor Kosmo! bersama Datuk Baharom dipindahkan dari Utusan Malaysia. Datuk Baharom dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian menggantikan Norden Mohamed yang menggalas jawatan tersebut bermula 2009 hingga 2017.

Pelantikan Datuk Baharom ke Sinar Harian seiring dengan matlamat syarikat untuk melaksanakan transformasi baharu menepati cita rasa pembaca Sinar Harian.

Beliau dipertanggungjawab meningkatkan kualiti isi kandungan dan pemilihan bahan berita yang terkini, telus dan tulus. Pada masa sama, beliau akan mengenal pasti hala tuju dan mengukuhkan jenama Sinar Harian agar dapat bersaing dengan akhbar arus perdana yang lain.

Beliau menjadi pengarang akhbar Kosmo! selama 10 tahun antara 2008 dan 2018. Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu terlibat dalam bidang kewartawanan selama 28 tahun sebelum bersara menerusi Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) Utusan pada Disember 2018.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang penulisan dari Universiti Malaya ini pernah bertugas sebagai pemberita, penulis rencana dan koresponden akhbar Utusan Malaysia di London antara 1994 dan 1997.

Beliau juga pernah bertugas sebagai kolumnis, pengarang berita, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia (2000-2002), Pengarang Majalah Mingguan MASSA, Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia dan pernah menjawat jawatan Penolong Pengarang Utusan Malaysia.