MIRI: Aplikasi WeChat kini menjadi platform kepada segelintir pihak untuk menjual video lucah atau menayangkan bentuk tubuh tanpa sehelai benang kepada pelanggan secara dalam talian.

Pemerhatian Suara Sarawak dalam aplikasi WeChat turut mengesan beberapa individu wanita tidak segan silu menawarkan video lucah mereka kepada lelaki bermata keranjang.

Menurut seorang pengguna aplikasi Wechat yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkadar, modus operandi aktiviti pelacuran kini menjadikan aplikasi itu bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.

“Jika dahulu aplikasi WeChat ini dijadikan tempat untuk mempromosikan produk jualan, namun aplikasi ini lebih mendorong ke arah aktiviti seksual secara dalam talian,” katanya.

Zulkadar mendedahkan sindiket mungkin bergerak secara berkumpulan ataupun individu yang mahukan duit lebih cepat tanpa mengetahui latar belakang dan umur pelanggan mereka.

“Urusan jual beli video lucah atau video bogel akan dimuat naik di status peribadi mereka bagi meyakinkan pelanggan baharu dan kegiatan ini jika tidak dibendung akan merosakkan akhlak generasi muda,” tegasnya.

Malah tambah Zulkadar, pelanggan kebiasaannya akan membuat bayaran secara dalam talian atau memindahkan duit ke akaun bank penerima. “Sebaik sahaja mendapat bayaran, barulah wanita tidak bermoral ini akan menghantar video peribadi mereka kepada pelanggan.

“Kegiatan ini masih berlaku sehingga kini dan kita amat berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kerja mereka memantau aktiviti ini,” ujarnya.

Zulkadar menarik perhatian bahawa bagi memerangkap pelanggan baharu, wanita ini akan muat turun gambar mereka yang seksi dengan memperlihatkan tubuh badan mereka.

“Kebiasaannya wanita ini akan kelihatan lebih seksi dan mengenakan baju jarang yang menampakkan keseluruhan tubuh mereka untuk menawan lelaki mata keranjang,” tegasnya.

Di samping itu, aplikasi WeChat juga sering dijadikan tempat untuk menjual aksesori seperti alat sulit tiruan lelaki dan wanita, produk membesarkan zakar, ubat kuat, kondom dan sebagainya.

Tambahnya, lambakan jualan aksesori seks ini seolaholah menjadi satu trend baharu  kepada peniaga kerana mereka tidak perlu mendapatkan lesen perniagaan sah.

“Sudah pasti mereka mahu jualan mereka laris dan mendapat keuntungan berganda dengan menjual aksesori seks tanpa memikirkan identiti pelanggan mereka.

“Kemungkinan ada pelanggan mereka masih bersekolah atau lepasan sekolah kerana aplikasi WeChat ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja tanpa mengira had umur,” ujarnya.

Menurutnya, tidak hairanlah kes hamil luar nikah atau buang bayi terus meningkat jika kegiatan pelacuran secara dalam talian tidak dibendung habis-habisan.

“Kita bimbang pelajar bawah umur terjebak dengan kegiatan seks rambang kerana mereka mudah mendapat akses video lucah tanpa pengawasan ibu bapa,” katanya lagi.