KUCHING: Kerjasama, kesabaran dan kepatuhan penduduk Kampung Haji Baki sepanjang menjalani arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mendapat pujian daripada Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang.

Khere Chiang berkata, PKPD yang diadakan selama 17 hari itu dilaksanakan dengan jayanya berikutan kerjasama yang padu diberikan oleh penduduk kampung.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara dan saudari di Haji Baki kerana menghadapi PKPD yang pertama di Sarawak dengan tenang, aman dan tenteram.

“Selain daripada satu dua kes, semua memberikan kerjasama yang padu, tenang dan sangat patuh,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Khere Chiang mengingatkan penduduk Haji Baki untuk sentiasa berada di rumah dan mengelak keluar dari kawasan kampung ekoran risiko jangkitan Covid-19 dari kawasan lain.

PENGHARGAAN… Adun Batu Kitang, Ir. Lo Khere Chiang bergambar kenangan dengan para penerima Sijil Penghargaan antara turut kelihatan (dari kiri) Penghulu Kampung Haji Baki, Saptuyah Yusof, Ketua Kampung Haji Baki Blok B, Baslie Sulaiman dan Ketua Kampung Haji Baki Blok C, Rosli Ahmad Darus (kiri) di Kuching.

Katanya, sementara kawasan Kampung Haji Baki selamat, kawasan lain tidak selamat sepenuhnya berikutan Daerah Kuching adalah zon merah dan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Khere Chiang turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan barisan hadapan daripada agensi Persekutuan dan negeri sepanjang PKPD dilaksanakan.

“Ucapan terima kasih dan terima kasih juga saya sampaikan kepada penderma dan masyarakat prihatin yang tampil memberi bantuan selama masa penting ini.

“PKPD ini tidak akan berjaya tanpa tindakan pantas timbalan ketua menteri kita, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Tuan, kebijaksanaan dan keputusan pantas anda menyelamatkan Haji Baki dari wabak Covid-19. Terima kasih juga atas makanan dan ubat yang disampaikan kepada semua 600 isi rumah di Haji Baki,” ujarnya.