KERAJAAN Persekutuan harus memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan di wilayah Timur iaitu Sabah dan Sarawak, bagi mengimbangi pembangunan Malaysia secara keseluruhan.

Lebih banyak peruntukan pembangunan harus disalurkan ke Sabah dan Sarawak untuk membina infrastruktur dan kemudahan agar kedua-dua negeri ini sama-sama membangun seperti negeri-negeri di Semenanjung.

Lebuh raya, jaringan komunikasi yang mantap, utiliti dan lain-lain infrastruktur seperti di Semenanjung antara yang diinginkan oleh anak jati Sabah dan Sarawak.

Begitu juga dari segi ekonomi, pendapatan dan peluang pekerjaan harus diberi tumpuan sepenuhnya di Sabah dan Sarawak untuk merapatkan jurang antara Borneo dengan Semenanjung.

Seperti yang sudah dimaklum, Indonesia akan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur yang akan bermula secara berperingkat-peringkat, bermula 2020 hingga 2024.

Sudah tentu pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan akan memberi limpahan pembangunan infrastruktur ke wilayah itu dan pelaburan ke wilayah tersebut.

Selain itu, pelabuhan di Kalimantan juga akan sesak dengan kapal dagang yang keluar masuk kerana aktiviti import dan eksport akan tertumpu di wilayah Indonesia itu.

Melihat kepada perkembangan tersebut, sudah pasti Kerajaan Malaysia perlu memantapkan lagi kawasan sempadan dengan jalan raya dan keselamatan dan memperbesarkan lagi pelabuhan di Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan Bajet Negara 2021 mencadangkan supaya Sabah dan Sarawak dijadikan tumpuan untuk pelaburan domestik dan antarabangsa yang mempunyai potensi besar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, mantan Perdana Menteri itu mencadangkan apa jua visi atau pelan yang dicorakkan perlu mengambil pendekatan pandang ke Timur, tidak perlu sejauh Jepun, cukup pandang ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Kata Najib, Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber semula jadi dan lokasi yang strategik, lebih dekat dengan negara-negara yang pesat membangun di Asia Timur, berbanding Semenanjung.

“Secara asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya.

“Adalah tidak masuk akal, jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa memberi peluang kepada mereka untuk melabur di Sabah dan Sarawak yang mempunyai banyak potensi,” katanya.

Tambah beliau, rancangan pandang ke Borneo ini jika dirancang dengan betul mempunyai potensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi seluruh negara untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Najib juga berharap Sabah dan Sarawak serta pelabur di Semenanjung akan terbuka hati untuk melabur dan memajukan visi pandang ke Borneo ini secara bersama.

Oleh itu, diharapkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenal tahun lalu direalisasikan agar Sabah, Sarawak dan Semenanjung sama-sama membangun.

Titik-titik panas ekonomi di Sabah dan Sarawak harus diberikan tumpuan untuk membangunkan kawasan sekali gus memberi pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk setempat.

Jika Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak direalisasikan, tidak mustahil Kalimantan akan lebih maju dari Sabah dan Sarawak. Oleh itu, potensi yang ada di Sabah dan Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya, demi pembangunan Malaysia.