Tembak warga Korea Selatan cara Pyongyang kekang Covid-19

SEOUL: Korea Utara menegaskan tindakan menembak mati seorang warganegara Korea Selatan yang memasuki kawasan perairan mereka sebulan yang lalu dilakukan sebagai langkah keselamatan dalam usaha mengekang penyebaran Covid-19.

Dalam kejadian itu, tentera Korea Utara menembak mati seorang pegawai perikanan dari Korea Selatan yang dilaporkan hilang pada lewat September di negaranya.

Menurut laporan dari pihak tentera Korea Selatan mayatnya disimbah minyak dan dibakar.

Seoul kemudiannya mengarahkan siasatan bersama dijalankan oleh kedua-dua wilayah selepas Korea Utara memberitahu mereka membakar alat apungannya dan bukan mayatnya.

Pyongyang juga mengaku pihak tentera melepaskan 10 das tembakan ke arah lelaki tersebut dan mendakwa kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan selepas ditembak.

Dia juga dikatakan disoal siasat selama beberapa jam semasa di dalam air dan lelaki itu menyuarakan hasratnya untuk berpaling tadah dan berpindah ke Korea Utara.

Namun akhirnya dia ditembak mati atas arahan ‘pegawai atasan’ Agensi media nasional Korea Utara, KCNA, menuduh ahli politik Korea Selatan sengaja menimbulkan kontroversi membabitkan isu tersebut dan menyalahkan Seoul kerana gagal menghalang mangsa memasuki sempadan Korea Utara.

“Tentera tiada pilihan melainkan mengambil langkah berjaga-jaga kerana warga Korea Selatan itu disyaki memasuki sempadan secara haram,” ujar mereka.

Ekoran insiden yang bermula dari pihak Korea Selatan sendiri, tentera Korea Selatan mengesahkan lelaki tersebut sememangnya berhasrat melarikan diri ke Korea Utara selepas dia dilaporkan hilang dari bot nelayan yang dinaikinya.

Terdahulu, Presiden Korea Utara Kim Jong-un memohon maaf kepada Korea Selatan beberapa hari selepas insiden itu dengan memberi alasan ia dilakukan bagi mengekang penyebaran Covid-19. – AFP

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak