MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 3,834.53 liter minuman keras pelbagai jenama hasil serbuan terhadap sebuah premis di Jalan Melayu, Centrepoint Commercial Centre Phase 1, di sini, pada Rabu.

Pengarah Kastam Sarawak, Herman Shah Abdullah, berkata rampasan itu dianggarkan bernilai RM29,705.22 dengan nilai cukai sebanyak RM119,287.84.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan pada jam 5.20 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Bintulu dengan bantuan JKDM Miri selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan menemui minuman keras pelbagai jenama dipercayai tidak berkastam yang disembunyikan di dalam bilik stor dan beberapa bahagian lain dalam premis berkenaan,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Turut ditahan dua lelaki dipercayai penjaga premis berkenaan yang mana individu terlibat disyaki menyimpan minuman keras yang tidak berkastam berikutan permintaan yang tinggi daripada pelanggan ekoran harga yang lebih murah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 ekoran memiliki barangan tak berkastam yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan denda 10 kali ganda amaun duti kastam ataupun RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rampasan minuman keras sebuah premis di Jalan Melayu, Centrepoint Commercial Centre Phase 1,di Miri pada Rabu.