SUKA atau tidak, proses pembelajaran sekali lagi diadakan secara dalam talian selepas semua sekolah ditutup sepenuhnya minggu lepas.

Di bandar maju di negara ini, kebanyakan guru dan pelajar sudah didedahkan kepada pembelajaran dalam talian apabila Kementerian Pendidikan memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) antara kerangka penting yang harus dipraktikkan di semua sekolah.

Namun semua orang faham mengenai masalah domestik di Sarawak, dengan liputan Internet yang tidak dapat dicapai sepenuhnya dan taburan infrastruktur luar bandar yang tidak teratur.

Semalam Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Micheal Manyin Jawong mendedahkan, cabaran utama bagi Sarawak apabila syarikat telekomunikasi Maxis, Celcom dan Digi tidak bersedia masuk ke luar bandar kerana masalah populasi yang tidak banyak seperti di bandar besar.

Sebahagian besar kawasan luar bandar di Sarawak masih menghadapi masalah dalam penyambungan Internet walaupun Kerajaan Sarawak berusaha membina menara telekomunikasi.

Walaupun Kerajaan Sarawak berusaha keras untuk membina menara telekomunikasi di seluruh negeri, kebanyakan syarikat telekomunikasi tidak berminat untuk menyediakan perkhidmatan Internet.

Secara logiknya ya, ia menjadi cabaran utama kerana tiada populasi maksudnya tiada keuntungan perniagaan yang syarikat telco akan dapat di luar bandar.

Namun ia harus diadakan demi kelangsungan pendidikan negara walaupun banyak cabaran terpaksa pelajar tempuhi untuk pembelajaran dalam talian.

Rata-rata pelajar tidak suka dengan kaedah pembelajaran dalam talian kerana dianggap tidak ada perasaan belajar dan tidak fokus terhadap subjek yang dipelajari namun pelajar harus mendidik diri untuk belajar menguasainya.

Semua benda baharu memang sukar diterima.

Di negara maju, sistem pembelajaran dalam talian sudah lama dipraktikkan tetapi belajar secara berdepan dengan guru adalah cara konvensional yang lebih praktikal.

Ada hubungan mata antara guru dengan pelajar dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

Musibah Covid-19 yang melanda dunia sedikit sebanyak memberi impak terhadap penggunaan sistem pembelajaran dalam talian di sekolah.

Penggunaan pembelajaran dalam talian bagi menggantikan pembelajaran dalam bilik darjah juga dilihat ada peningkatan mendadak selepas wabak kesihatan global ini.

Ibu bapa juga tidak terkecuali memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran anak dengan menyediakan kemudahan asas di rumah seperti talian Internet, komputer atau telefon pintar dan ruang pembelajaran.

Pembelajaran dalam talian tidak mendisiplinkan pelajar dan bersikap sambil lewa kerana pembelajaran mengikut kesesuaian masa mereka.

Kesannya, tenaga pengajar tidak akan tahu kemampuan pelajarnya kerana tidak bersemuka dan berbincang secara perseorangan.

Apa yang kita harapkan, krisis kesihatan global ini akan berakhir supaya pelajar kita dapat belajar seperti biasa.