KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Pak Itam’ awal pagi tadi dipercayai menjadi ejen membawa masuk pendatang tanpa izin ke negeri ini.

Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Ken Leben berkata lelaki berkenaan ditahan oleh Pasukan Tindakan Cepat (QRT) jabatan itu sewaktu suspek bersama-sama dua orang warga Indonesia di dalam sebuah van yang ditahan di Bintulu, 515 km ke utara dari sini, kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Hasil maklumat daripada kes penangkapan tersebut mendapati bahawa ‘Pak Itam’ adalah dalang di sebalik kemasukan pendatang tanpa izin. Kes ini adalah susulan daripada maklumat pendatang tanpa izin yang telah ditahan di Jalan Lundu (selatan Sarawak) semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, susulan tangkapan dalang tersebut, QRT Imigresen telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Sibiyu, Bintulu dan menahan 12 orang warganegara Indonesia yang dipercayai memasuki negeri ini secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan terperinci di premis tersebut mendapati kesemua warga asing ini baru tiba di situ dalam tempoh beberapa jam sebelum serbuan dibuat. Mereka disyaki telah dibawa masuk ke Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan yang diuruskan oleh Pak Itam,” katanya sambil menambah, kesemua tahanan akan menjalani saringan COVID-19 dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.