KUCHING: Rakyat Sarawak digesa agar tidak jatuh kepada tipu muslihat parti pembangkang berkaitan dengan pengukuran perimeter servei Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikon berkata, salah satu daripada tuduhan kepada Kerajaan Sarawak ialah dakwaan mengenai kerajaan kononnya memerlukan tanah rakyat untuk tujuan pembangunan dengan mewartakan tanah di bawah Seksyen 6.

“Isu tanah amat mudah untuk dimanipulasi dan dipolitikkan. “Pembangkang memetik isu tersebut dan mengubah kepada isu lain seperti isu Seksyen 6 dengan mendakwa kerajaan merampas tanah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika temu bual eksklusif dalam program Twenty30 di TVS.

Menurut Mawan, perbezaan persepsi terhadap isu NCR hanya untuk manfaat politik dan merasakan ia tidak harus dijadikan sebagai bahan politik.

“Ini kerana pada penghujungnya, pemilik tanah juga yang akan kehilangan hak mereka,” jelasnya. Mawan menjelaskan, perkara tersebut perlu diselesaikan mengikut kriteria dan perimeter yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Jika tidak, ia akan menjurus kepada perbalahan dalam kalangan ahli keluarga atau jiran pada masa akan datang. “Ia akan lebih sukar untuk menentukan tanah tersebut tanpa dokumen yang sah bagi menetapkan sempadan tanah,” ujarnya.

Beliau menambah, sebelum pemilik tanah melakukan pengukuran terhadap tanah, ia memerlukan perbelanjaan yang banyak.

“Justeru, kita bertuah kerana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah peruntukan untuk pengukuran perimeter tanah.

“Apabila pemilik tidak membenarkan tanah diukur kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang, ia bermakna kalah,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mawan merasakan tiada pilihan lain bagi mereka selain meletakkan kepercayaan mereka kepada kerajaan sedia ada. “Ini kerana kerajaan tidak akan menipu rakyatnya sendiri,” tambahnya.