SEJAK Covid-19 melanda Dunia Mac lalu hingga kini, ramai yang hilang pekerjaan, lantas menyukarkan rentak kehidupan. Malah ramai yang mengeluh, setelah keluar dari kepompong keselesaan yang dinikmati selama ini.

“Tiada lagi nikmat seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)… segalagalanya harus berada dalam pertimbangan, tidak boleh lagi bebas seperti sebelum ini,” keluh salah seorang bekas supervisor di salah sebuah hotel lima bintang.

Katanya lagi; “Dunia kelihatan suram, kelam, bagaikan menuju kegelapan. Namun saya berharap masih ada cahaya di hujung terowong.”

Demikian rintihan anak tempatan, yang hilang pekerjaan, gara-gara organisasi tempat beliau bekerja mengecilkan saiz kakitangan, dan beliau antara mangsa pengurangan staf.

Fenomena hilang pekerjaan sudah pun berlaku di seluruh dunia. Ramai yang terkesan. Malah bantuan daripada kerajaan juga tidak mencukupi. Namun sekurang-kurangnya ada, daripada tiada langsung.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dianggarkan sebanyak 2.4 juta bakal hilang pekerjaan.

Berdasarkan data dan keadaan ekonomi semasa peluang pekerjaan untuk enam bulan akan datang agak terhad dan rakyat sukar untuk memilih pekerjaan. Keadaan ini akan menyebabkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, apa lagi dengan ketiadaan pendapatan.

Realitinya, pada masa krisis Covid-19, ini adalah tempot sukar bagi siswazah kerana peluang untuk mendapatkan pekerjaan amat kecil.

Kini, para siswazah perlu mencari alternatif lain untuk menampung kehidupan mereka dengan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan makan gaji.

Baru-baru ini, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, membabitkan RM35 bilion bagi memastikan kesejahteraan ekonomi Malaysia dan rakyat.

Ia persediaan awal membantu rakyat mengharungi era pasca Covid-19, sekali gus membuktikan kerajaan menitikberatkan nilai keusahawanan dengan memfokuskan usahawan dan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, keusahawanan merupakan alternatif dan pilihan terbaik bagi rakyat untuk mengurangi bebanan kos sara hidup.

Rakyat tidak perlu risau jika perancangan kewangan keluarga dibuat dari sekarang dalam menghadapi masalah ekonomi yang melanda di seluruh dunia.

Selama ini keusahawanan menjadi pilihan terakhir selepas gagal mendapatkan pekerjaan lain yang dianggap lebih stabil dan membanggakan.

Ramai beranggapan usahawan dan peniaga kecil tidak sehebat pekerjaan lain kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Foto Bernama

Namun, Covid-19 memberi tamparan hebat kepada rakyat Malaysia yang berfikiran sedemikian untuk mengubah mentaliti terhadap keusahawanan yang selama ini dianggap tidak stabil.

Kini ia bakal menjadi sumber pendapatan untuk menampung keperluan hidup. Oleh itu, masyarakat terutamanya golongan siswazah perlu mengambil peluang ini untuk menceburi bidang perniagaan bagi persediaan menempuh kehidupan yang mencabar ini.

Namun, untuk menjadi usahawan dalam masa singkat, mereka perlu belajar cara untuk menjual dan dalam masa sama memiliki ilmu kewangan supaya boleh bertahan dengan impak pandemik Covid-19.

Mereka boleh menjalankan perniagaan melalui tiga cara iaitu luar talian, dalam talian dan mengguna pakai sistem sedia ada seperti affiliate, dropship dan menjadi ejen produk. Jangan mudah untuk mengeluarkan modal yang besar kerana dikhuatiri mendatangkan risiko tinggi.