SERIAN: Projek pembinaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian yang dijangka siap pada pertengahan 2022 nanti bakal menerima 700 pelajar setiap tahun. Duta Khas Perdana Menteri Ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang juga Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, apabila siap nanti ia akan memberi peluang kepada belia Sarawak menceburi bidang kemahiran teknikal.

“Setakat ini perkembangan pembinaannya berjalan dengan lancar, ia sepatutnya siap pada 31 Disember 2021 namun terpaksa dilanjutkan ekoran penularan Covid-19. “Saya berharap ia dapat disiapkan menjelang pertengahan tahun 2022 untuk membolehkan negeri melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. “Ia sekali gus membantu

Sarawak mencapai status negara maju menjelang tahun 2030,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan naik taraf tempat letak kereta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian di sini pada Khamis.

Menurutnya, projek tersebut merupakan buah fikiran beliau semasa menjadi Menteri Sumber Manusia dahulu untuk manfaat masyarakat di negeri terutamanya anak-anak Serian.

Mengulas lanjut, beliau berkata Bahagian Serian amat bertuah kerana banyak projek pembangunan sedang, telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada rakyatnya.

Bercakap mengenai naik taraf dua tapak tempat letak kereta SMK Serian itu, Riot berkata ia menelan kos RM150,000 melalui peruntukan program transformasi luar bandar (RTP) dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

“Projek bermula pada 21 September lalu, namun setakat ini kemajuan sudah mencapai 80 peratus dan dijangka siap dua minggu lagi, ia mendahului jadual asal.

“Sudah tentu apabila siap nanti akan memberikan manfaat kepada pihak sekolah ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Riot menyumbangkan sejumlah RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Serian untuk aktiviti mereka.