LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang bercadang menyelesaikan masalah tiada capaian Internet di Nanga Sumpa menggunakan sistem Connectme.

Menurutnya, beliau berbincang dengan pihak Connectme Sarawak untuk mendapatkan jaringan Internet dan memudahkan kerja penduduk di kawasan tersebut khususnya kepada pelajar.

“Inisiatif yang kita boleh laksanakan sekarang dengan membeli perisian daripada Connectme bagi mendapatkan jaringan Internet di kawasan itu.

“Inisiatif ini boleh dikatakan untuk tempoh jangka pendek dan panjang kerana selagi Internet tidak dapat dicapai di kawasan tersebut, penduduk tiada pilihan lain selain menggunakan sistem ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Beliau menambah, pihaknya sanggup membelikan perisian yang dikhaskan untuk perkara tersebut. “Setakat ini, kami masih lagi berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan penggunaan perisian Connectme.

“Saya juga akan berjumpa dan berbincang dengan penduduk di kampung itu berkenaan perkara ini,” jelasnya.

Jugah berkata, tiang telekomunikasi di kawasan itu sememangnya sudah tersedia tetapi ia tidak disertakan dengan piring bagi mendapatkan jaringan telefon.

Beliau mendedahkan selain Nanga Sumpa, terdapat lebih 60 kampung di kawasannya itu masih memerlukan perkhidmatan yang sama.

“Terdapat beberapa cabaran dalam menggunakan Connectme ini. Antaranya, beberapa kampung yang belum menerima bekalan elektrik dan terpaksa menggunakan sistem solar.

“Apabila menggunakan sistem solar, kos penyambungan tidak termasuk dengan kos sistem Connectme. “Selain itu, Connectme menggunakan sistem tambah nilai. Sekiranya kami dapat menyediakan kos memasang dan sebagainya.

“Persoalannya kini, adakah penduduk di kawasan berkaitan sanggup membayar kos tambah nilai itu?,” ujarnya.

Jugah memberitahu, beliau akan terus menyampaikan isu yang dihadapi penduduk Lubok Antu terutama mereka yang menghadapi masalah tiada perkhidmatan Internet kepada Kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, Daerah Lubok Antu tidak harus ketinggalan daripada merasai pembangunan digital seperti yang berlaku di daerah lain.

Pada 15 November lalu, satu laman Facebook – Nanga Sumpa Lubok Antu Sarawak memuat naik gambar dan keterangan yang memaparkan 20 murid dan pelajar dari Nanga Sumpa dan Nanga Jambu melalui perjalanan panjang untuk mendapatkan liputan jaringan Internet.

Melalui keterangan Facebook itu – ia bagi murid menyiapkan kerja sekolah dalam talian susulan penutupan sekolah di seluruh negara akibat Covid-19. Perkongsian itu mendapat perhatian rakyat Sarawak.