TUGASAN lebih mencabar buat pengurusan Kuching City FC dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Wakil dari Sarawak itu perlu menghantar satu lagi pasukan iaitu skuad Piala Belia.

Ia merupakan syarat wajib yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk semua pasukan yang beraksi dalam liga utama (Liga Premier dan Liga Super).

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Fazzrudin Abdul Rahman memberitahu, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini daripada FAM.

“Kami perlu menyediakan pasukan belia dan kami sedia merangkanya. “Buat masa ini belum ada sesi latihan… kita tunggu keadaan dan arahan,” ujar Fazzrudin.

Ini bermakna Kuching City FC akan dibarisi tiga buah pasukan iaitu pasukan senior yang akan beraksi dalam Liga Premier, skuld Piala Pesiden dan skuad Piala Belia.

“Kami akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan. “Kami akan bertindak sebaik keputusan diperoleh daripada mesyuarat nanti,”ujar Fazzrudin.