KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan melebarkan Terminal Aperture Sangat Kecil (VSAT) ke kawasan sasaran bagi memudahkan murid sekolah di luar bandar mendapat capaian Internet berkelajuan tinggi untuk pendidikan mereka.

SMA dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan satu usaha untuk memastikan murid di Nanga Sumpa dan Nanga Jambu di Lubok Antu mendapat liputan Internet yang baik untuk mengikuti pelajaran mereka.

“Kita menyedari sepenuhnya isu-isu rangkaian Internet negeri ini ekoran wabak Covid-9 dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, SMA akan bertindak membangunkan menara telekomunikasi di kawasan yang tidak mempunyai nilai komersial,” katanya.

Menurutnya, SMA turut mengambil inisiatif Telekomunikasi Luar Bandar SMA (Smart) untuk memperluas liputan telekomunikasi ke luar bandar Sarawak.

“Smart merupakan salah satu usaha intervensi negara untuk mengurangkan jurang sosioekonomi masyarakat luar bandar kita.

“Pembinaan 300 menara telekomunikasi pertama kini siap 67 peratus,” ujarnya.