SIBU: Setelah mendapat perhatian akhbar ini pada 29 Oktober lalu, masalah titian pejalan kaki usang yang menjadi kegunaan utama penduduk Sungai Rassau dekat sini, sudah siap dibaik pulih.

Ahli Majlis Daerah Matu-Daro (MDMD) yang bertanggungjawab terhadap kawasan Sungai Rassau Kaunselor Juti Bilun berkata, titian itu siap pada minggu lalu.

“Ia dilaksanakan oleh kontraktor MDMD selepas berita mengenainya disebar luas melalui akhbar Suara Sarawak termasuk media sosial.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Cawangan PBB Bawang Assan kemudian membuat tindakan susulan yang membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan tidak lama selepas itu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Juti berkata, kerja baik pulih disiapkan dalam masa tiga hari dan panjang titian itu kira-kira 200 meter dengan kos sebanyak RM88,000.

“Titian yang sudah siap ini memberi manfaat kepada sembilan rumah panjang, dua sekolah dan masing-masing sebuah tadika dan gereja,” jelas beliau.

Beliau memberitahu, masalah ini sudah diutarakannya kepada pihak berkenaan sejak awal tahun 2019.

Bagaimanapun dakwanya, tiada tindakan diambil hingga masalah itu dibangkitkan melalui Suara Sarawak pada 29 Oktober lalu.

Sementara itu, Tuai Rumah Salim Unang melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih mewakili penduduk Sungai Rassau kepada GPS khusus PBB Cawangan Bawang Assan yang bertindak dengan pantas menyelesaikan masalah tersebut. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Juti yang turut mengajukan masalah itu terus kepada perhatian MDMD.

“Walaupun kami di terletak di kawasan Dun Bawang Assan tetapi kawasan pentadbiran kami di bawah MDMD.

“Dengan siapnya titian pejalan kaki ini, ia akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduknya.

“Titian ini menghubungkan satu rumah panjang ke rumah panjang yang lain termasuk sekolah, gereja dan tabika,” jelasnya. Salim berkata, mereka juga masih memerlukan pembangunan lain seperti kemudahan asas, insfrastruktur, Internet dan bantuan baik pulih rumah.

“Saya berharap terus mendapat perhatian Kerajaan Sarawak walaupun kami berada di kawasan pedalaman yang agak terpencil.

“Diharap pembangunan bukan hanya titian pejalan kaki sahaja malah lebih banyak lagi pembangunan yang lain akan terus dilaksanakan di kawasan Sungai Rassau ini,” kata Salim.

Beliau mahu Kerajaan Sarawak terus mengambil perhatian kepada kawasan Sungai Rassau memandangkan mereka sudah jauh ketinggalan sejak 25 tahun lalu.

“Kami dilabelkan sebagai kawasan paling daif di dalam Dun Bawang Assan.

“Sudah pasti, kami inginkan wakil rakyat GPS di kawasan kami bagi memastikan segala kekurangan dapat diatasi dengan adanya wakil rakyat daripada kerajaan.

“Wakil rakyat kami sekarang sudah berada di blok pembangkang dan tidak diyakini untuk memberi khidmat dengan sebaik mungkin,” luahnya lagi.

Sungai Rassau yang terletak kira-kira satu++ jam 30 minit perjalanan menggunakan pengangkutan sungai dari Sibu.

TR SALIM UNANG

KAUNSELOR JUTI BILUN