KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing dilantik sebagai pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sehingga 17 Disember nanti.

Menurut kenyataan semalam, pelantikan tersebut mendapat kelulusan kabinet dalam mesyuarat pada 18 November ekoran Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas kini berehat selama sebulan selepas menjalani pembedahan kecil pada 17 November lalu.

Sehubungan itu, Masing telah mengadakan mesyuarat secara maya pertama bersama-sama ahli JPBNS semalam selepas dilantik sebagai pemangku Pengerusi JPBNS tersebut.

Menurut Masing, semua ahli JPBNS perlu berwaspada dan mengambil langkah tambahan dan berjaga-jaga dalam usaha untuk mengubah kawasan zon merah menjadi zon kuning dengan lebih cepat.

“Pada masa yang sama, orang ramai harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, tidak kira di mana anda berada,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua agensi yang memantau sempadan dapat memastikan bahawa tidak ada pendatang haram yang dapat menyeberangi sempadan untuk memasuki Sarawak bagi mengekang penularan Covid-19 dan untuk tujuan keselamatan.

“Jawatankuasa akan bermesyuarat pada Ahad, 22 November ini untuk memutuskan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bahagian Kuching sama ada akan dipanjangkan atau sebaliknya. “Ia juga bagi mempertimbangkan jumlah kes baharu dalam tempoh dua hari ini,” tegasnya.

Pada masa yang sama Masing memberitahu, dari segi perjalanan antara zon merah, hijau dan jingga atau sebaliknya, ia memerlukan kebenaran polis.

“Bagaimanapun tiada halangan untuk perjalanan antara zon hijau termasuk aktiviti perniagaan dengan mematuhi syarat SOP,” tegasnya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin turut menghadiri mesyuarat tersebut.