LUNDU: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup sejumlah 354 kotak buntut ayam beku dan sosej bernilai RM24,267 masuk ke Indonesia melalui KTJ Pos Raso gagal, selepas mereka ditahan polis, pada Jumaat.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata dalam satu kenyataan mengesahkan mereka ditangkap anggota peronda PGA Op Benteng Covid di lokasi sekitar jam 6.30 petang.

Menurutnya, hasil pemerhatian awal rondaan mendapati terdapat dua kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dan Isuzu dalam keadaan mencurigakan berada tidak jauh dari simpang masuk ke pos berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan terbabit menemui barangan berupa 117 kotak buntut ayam beku dan 32 bungkus sosej ayam.

“Dua individu tempatan masing-masing berusia 46 dan 51 tahun ketika disoal siasat mengaku hendak membawa masuk barang-barang tersebut ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek beserta barangan dan kenderaan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, nilai anggaran keseluruhan barangan yang dirampas termasuk kenderaan berjumlah RM114,304.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

PENUH.. Barangan kawalan yang cuba diseludup masuk ke Indonesia