KUCHING: Dalam mengekang penularan pandemik Covid-19, aktiviti Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe), Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di zon merah dan kuning akan diubah suai menggunakan media sosial.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanakkanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) hanya Pawe, PPWE dan PDK di zon hijau dibenarkan beroperasi.

“Oleh itu, dengan adanya geran yang telah diberikan, PDK di kawasan zon merah perlu berhati-hati jika membuat sebarang perhimpunan supaya semua SOP dapat dipatuhi.

“Justeru, saya berharap Pawe, PPWE melaksanakan aktiviti untuk berkomunikasi dengan ahli lain menggunakan media sosial supaya kesihatan mereka terjaga dan tidak mengalami kemurungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran kepada Pawe, PPWE dan PDK Daerah Kuching di PDK Sri Satok, semalam.

Tambah Fatimah, disebabkan ramai warga emas turut mempunyai masalah kesihatan seperti hipertensi dan diabetes, maka geran yang diberikan itu dapat menambah nilai perkhidmatan sedia ada melalui PPWE.

“Oleh itu, golongan ini perlu diingatkan untuk berhati-hati dan mematuhi SOP jika mereka keluar dari rumah.

“Dengan pemberian geran ini, Pawe dan PPWE akan dapat terus berkomunikasi menggunakan media sosial dan menyalurkan berita sahih bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan berita palsu.

“Saya berharap mereka akan terus berkomunikasi antara satu sama lain dan berkongsi petua mengenai kesihatan dan pastikan mereka bersenam untuk kekal sihat,” ujarnya.

Enam PDK iaitu PDK Sentuhan Kasih Kuching, PDK Mutiara Hati Matang, PDK Petra Jaya, PDK Sri Satok, PDK Sinar Harapan Baru dan PDK Seri Batu Kawah telah menerima geran RM5,000 daripada Fatimah.

Turut menerima geran dengan jumlah yang sama ialah Pawe Sri Satok, Pawe Kuching, PPWE Kuching dan Sarawak Hun Nam Siang TGN.

Sementara itu kata Fatimah, kadar bayaran bulanan penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) masing-masing dinaikkan daripada RM1,200 ke RM1,500 dan RM800 ke RM1,200 mulai tahun depan.

Kadar tersebut akan memberi manfaat kepada 3,500 petugas dan penyelia dengan peruntukan RM100 juta melalui Belanjawan 2021.

“Bayaran ini berpatutan dan seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang digalas oleh petugas dan penyelia,” katanya.