SRI AMAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melancarkan program Jiwa Murni pertama pada tahun ini bersama penduduk di Kampung Pakit A, semalam.

Program tersebut menyaksikan sambutan kerjasama memberansangkan daripada penduduk kampung berkenaan, sekali gus mempercepatkan proses-proses pembersihan di kawasan kampung tersebut.

Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Briged Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, aktiviti gotong-royong itu telah pun dirancang awal sempena sambutan ulang tahun ke-61, Briged Ketiga.

SIDANG MEDIA… Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Briged Jeneral Datuk Azhar Ahmad di majlis kerja gotong-royong anggota tentera di Kampung Pakit A, Sri Aman semalam. Foto Ghazali Bujang

Beliau yang ditemui di lokasi memberitahu Kampung Pakit A menjadi pilihan utama untuk menjalankan program setelah mengambil kira penjimatan pengangkutan logistik berikutan ia berada bersebelahan dengan Kem Pakit.

Tambahnya, pemilihan Zon Hijau turut diambil kira selaras dengan saranan yang ditekankan oleh Kerajaan Persekutuan di samping menekankan pematuhanan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang program.

“Aktiviti gotong-royong dipraktikkan selari dengan garis panduan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, serta membuat pemeriksaan awal suhu setiap peserta yang terlibat sepanjang program.

“Program melibatkan anggota pasukan 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama lebih 185 orang masyarakat di Kampung Pakit A dan kerjasama baik daripada Tuai Rumah,” katanya.

Katanya, aktiviti jelas meningkatkan hubungan tentera dengan masyarakat awam, selaras tonggak perintah kelima Panglima Tentera Darat yang ke-28, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan Azhar menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada penduduk kampung berkenaan sebagai penghargaan dalam membantu bersama-sama menjayakan program selain sebagai bantuan keperluan asas Covid-19.

JIWA MURNI… sekitar kerja gotong-royong anggota tentera di Kampung Pakit A, Sri Aman semalam.