KUCHING: Penyanyi dan bintang sape Alena Murang sudah tidak asing lagi sebagai insan yang giat mempromosikan budaya tradisi Sarawak ke seluruh dunia melalui muzik dan seni.

Gadis keturunan campuran Kelabit ini memulakan misi memperkenalkan lagu rakyat dan lagu kanak-kanak dalam bahasa Kelabit menerusi Projek Ranih.

“Kami sangat gembira kerana projek ini akhirnya dilancarkan bertemakan lagu rakyat dan kanak-kanak suku kaum Kelabit.

“Projek ini merupakan projek pertama yang bakal mendokumentasikan tradisi lisan menerusi ciptaan lagu bagi kanak-kanak Kelabit.

“Kami menyediakan satu laman web percuma kepada pengguna sebagai langkah mendorong ibu bapa memainkan lagu tersebut kepada anak mereka.

“Di samping itu, ia dapat memupuk minat dan mengeratkan nilai kekeluargaan mereka,” katanya kepada New Sarawak Tribune.

Menurut Alena, inisiatif ini juga merupakan satu platform untuk mendedahkan tradisi kaum Kelabit kepada generasi muda pada masa kini.

Jelasnya lagi, dengan pendedahan tersebut ia dapat menerapkan rasa cinta dan sayang kanak-kanak terhadap budaya tradisi yang diamalkan.

“Pada dasarnya, idea ini dirancang sejak 2016 selepas pelancaran album pertama saya.

Sejujurnya, kami sedang berusaha untuk mengumpul dana bagi projek ini.

“Jadi, kita di sini hari ini untuk empat tahun akan datang,” katanya lagi.

Menurutnya, penyampaian lagu cerita rakyat dan lagu kanak-kanak ini diolah teliti seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat setempat.

Dedahnya, antara set lagu pertama sedia ada ialah lagu berkisar kisah memancing untuk keluarga, kisah pelbagai jenis timun yang diletakkan di dalam pelbagai jenis bakul termasuk kisah mengajar kanak-kanak mengenai nilai masyarakat.

“Semuanya dinyanyikan oleh Datin Garnette Jalla Ridu dan Profesor Ramie Bulan.

“Ketika sesi rakaman, kami sungguh terhibur dan gembira kerana dapat mengimbau kembali zaman kanak-kanak.

“Ayah dan ibu saudara saya juga pernah menyanyikan untuk saya. Satu atau dua lagu kanak-kanak Kelabit, terutama lagu Uu ang.

“Saya dapat mengingati dengan jelas saat saya duduk di kaki ayah sambil menghayunkan saya ke atas dan ke bawah.

“Ibu saya juga akan turut serta ikut bernyanyi walaupun dia bukan Kelabit,” kongsi Alena.

Dengan kata lain katanya, lagu rakyat kanak-kanak terus berperanan untuk komuniti Kelabit yang menuntut kerja kerja pemuliharaan tradisi lisan.

“Ia harus dilakukan bersama-sama seluruh komuniti.

Rancangan kami untuk jangka panjang ialah mengumpulkan dana untuk terus mengemas kini arkib.

“Dengan harapan dapat membantu masyarakat lain bagi mengumpulkan lagu anak mereka juga,” tambahnya.

Projek ini disokong oleh Foundation of Endangered Languages, dengan kerjasama Malaysia Design Archive, dan Momentum Studios Sdn Bhd.

Untuk menyokong, sila hubungi alenamurang.team@ gmail.com.