KUCHING: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching dilanjutkan sehingga 27 November ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata keputusan itu susulan tempoh PKPD di Daerah Kuching dalam 14 hari yang lepas masih merekodkan 58 kes positif tempatan.

“Taburan kes-kes jangkitan ini tidak tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.

“Oleh yang demikian, setelah penilaian risiko, maka tempoh PKPB di Daerah Kuching dilanjutkan sehingga 27 November (Jumaat).

“Sekiranya dalam tempoh lanjutan PKPB ini, JPBNS mendapati bahawa tiada lagi keperluan untuk penguatkuasaan PKPB, ia boleh dipendekkan pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata tatacara kemasukan dan tempoh kuarantin selama 14 hari apabila masuk ke Sarawak turut dilanjutkan sehingga diberitahu kemudian.

Selain itu, beliau berkata pergerakan keluar masuk Daerah Kuching tidak dibenarkan kecuali untuk tugas rasmi dan tujuan bekerja.

“Surat dan pas kerja daripada ketua jabatan atau majikan adalah memadai.

“Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu memohon permit dari Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.