BINTULU: Keamanan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha dan kerjasama masyarakat dalam menjaga kesejahteraan selain kemakmuran ekonomi.

Justeru, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata setiap lapisan masyarakat termasuk ahli badan bukan kerajaan (NGO) perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk menaik taraf nilai sosio ekonomi keluarga dan masyarakat.

“Saya berharap agar semua ahli dapat mengekalkan keharmonian serta menjaga nama baik pertubuhan itu dengan tidak membuat onar dan melanggar undang undang agama dan kerajaan.

“Sebaliknya, kita mestilah bergerak bersama bagi memantapkan pertubuhan ini agar lebih disenangi oleh masyarakat setempat,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Bintulu, semalam.

Wan Sulaiman menyambut kehadiran Talib ke AGM PEKIDA Bintulu.

Menurut beliau, PEKIDA adalah sebuah pertubuhan untuk mengeratkan perpaduan dan silaturahim serta bersatu dalam melakukan aktiviti kebajikan khususnya di Bintulu.

“Setiap ahli dalam perjuangan ini dapat bergerak dalam satu hala tanpa matlamat yang berbeza,” katanya.

Pada masa sama, Adun Jepak itu turut berharap dengan adanya pertubuhan kebajikan seperti PEKIDA, sedikit sebanyak dapat memperbaiki akhlak individu terlibat untuk  menjadi insan yang baik dan berguna kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai  untuk terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Marilah kita terus membudayakan norma baharu ini dalam kehidupan harian kita dan sentiasa berwaspada dan patuh dengan arahan pihak berkuasa.

“Tanpa kerjasama semua pihak, adalah mustahil untuk kita berjaya memerangi sekali gus memutuskan  rantaian wabak Covid-19,” ujarnya lagi.

Hadir sama Pengerusi PEKIDA Bintulu Ustaz Wan Maulana Wan Maulana.

Talib bersama Sulaiman merakamkan gambar pada AGM PEKIDA Bintulu.