KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, kata pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.

Sehubungan itu, katanya jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kekal sebanyak 1,055 kes.

“Tiada kluster baharu dilaporkan menjadikan enam kluster yang masih aktif iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas, kesemuanya di Kuching,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata Daerah Kuching kekal berstatus merah dengan jumlah keseluruhan 58 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas manakala Daerah Miri dan Lawas juga kekal berstatus kuning.