MUKAH: Pemain industri pelancongan tempatan perlu melihat ke hadapan dan mencari penyelesaian ketika menghadapi norma baharu bagi memastikan industri pelancongan di Sarawak tidak terus lumpuh akibat pandemik Covid-19.

Adun Tellian Yussibnosh Balo berkata, industri pelancongan amat penting kerana ia memberikan pendapatan bukan sahaja kepada pengusaha produk pelancongan seperti hotel, namun kepada semua masyarakat.

“Apabila pengunjung datang ke tempat kita, mereka akan melawat tempat menarik dan unik, membeli kraf tangan, makanan tempatan, mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan dan sebagainya.

“Oleh itu, kita perlu berganding bahu dan bekerjasama menjadikan Bahagian Mukah sebagai destinasi pelancongan. Dalam tempoh ini, kita perlu fokus kepada pelancongan dalam negeri sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bengkel Pelan Perancangan Strategik Pelancongan Bahagian Mukah Siri 1 di Bangunan Recoda pada Jumaat.

Jelasnya, daerah Mukah sendiri mempunyai banyak tinggalan sejarah yang unik seperti jerunei, kubur tergantung, permainan tradisional tibow yang tiada di tempat lain.

“Malah Mukah juga mempunyai pengusaha muzium seperti di Lamin Dana dan Sapan Puloh. Begitu juga daerah lain seperti di Dalat, Matu, Daro dan Tanjung Manis. “Oleh itu, bengkel ini merupakan medan terbaik bagi mendapatkan maklum balas dari semua daerah mengenai tempat menarik, makanan tempatan, kraf tangan, budaya, permainan dan sebagainya.

“Apabila mendapat maklum balas sebegini, kita boleh mengetahui dan mengenali tarikan di sesebuah daerah. Malah maklumat sebegini yang ingin diketahui oleh pengunjung dari luar Bahagian Mukah,” ujarnya lagi.

Adun Tellian Yussibnosh Balo

Beliau berharap maklumat yang diperoleh daripada bengkel itu dapat menjadi rujukan pelancong yang ingin datang ke Mukah. Katanya, segala bahan yang diperolah dapat dikumpul dan dipromosikan menggunakan teknologi digital.

Sementara itu, Residen Mukah Hamdiah Bakir berkata, pihaknya akan berusaha menyediakan dokumentasi lengkap agar dapat digunakan oleh penggiat industri pelancongan tempatan.

“Melalui bengkel ini, kita dapat mengenal pasti produk yang berpotensi, isu-isu serta cadangan hasil perbincangan pemain industri.

“Banyak maklumat yang diterima dan dibincangkan dalam bengkel ini untuk percambahan idea daripada semua kumpulan.

“Pastinya para fasilitator akan membantu membuat kerangka kerja bagi mendokumentasikan segala pengisian yang telah diberikan. “Progran ini akan kita teruskan pada masa akan datang,” jelasnya lagi.