KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji dari semasa ke semasa, keperluan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga akhir tahun ini sekiranya terdapat peningkatan kes COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata pada masa sama, tindakan pembendungan perlu terus dilaksanakan bagi mencegah dan mengurangkan jumlah kes wabak itu kepada seminimum mungkin atau sifar kes melalui PKPB.

“Kerajaan mengambil maklum perit jerih rakyat dalam menempuhi kemerosotan ekonomi dalam tempoh penularan COVID-19. Atas sebab itu, SOP (prosedur operasi standard) sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa dan ditambah baik serta bersifat dinamik mengikut keperluan rakyat.

“Ia bertujuan untuk memberikan keseimbangan kelangsungan hidup rakyat dengan membolehkan aktiviti sosial dan meningkatkan produktiviti ekonomi serta pada masa sama kita dapat melawan virus COVID-19 ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Mohd Redzuan berkata tidak wujud isu untuk memberi kelonggaran kepada peniaga di Sabah semasa tempoh PKPB memandangkan semua sektor ekonomi di seluruh negara dibenarkan beroperasi.

“Sebagai contoh, semua premis perniagaan makanan di negeri itu dibenar beroperasi untuk aktiviti ‘dine-in’ atau makan dalam kawasan premis sepanjang PKPB dilaksanakan. Kebenaran beroperasi restoran dan kedai makan ini tertakluk kepada SOP bagi membudayakan normal-normal baharu dan mematuhi protokol kesihatan awam,” katanya.

Mengenai cadangan mengurangkan jumlah menteri dan timbalan menteri sebagai langkah penjimatan, Mohd Redzuan berkata tiada keperluan untuk bertindak demikian memandangkan bilangan menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berbeza sedikit berbanding pentadbiran Pakatan Harapan.

“Kerajaan juga telah memutuskan semua anggota pentadbiran meliputi Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri menyumbangkan bukannya 10 peratus daripada gaji tetapi sebanyak dua bulan gaji mereka kepada Tabung COVID-19 untuk membantu pihak yang terjejas akibat penularan wabak itu.

“Kerajaan juga mengalu-alukan semua pihak termasuk Ahli Parlimen seperti cadangan (Ahli Parlimen) Pandan untuk tampil membantu dan menyumbang dalam apa cara kapasiti mereka bagi meringankan beban rakyat dalam mendepani wabak COVID-19 serta bagi memulihkan ekonomi negara,” katanya.  — BERNAMA