KUCHING: Keputusan untuk menggunakan komputer Raspberry Pi bagi semua sekolah rendah di Sarawak dibuat setelah mengambil kira keupayaan dan batasan pelajar melalui penggunaan platform teknologi yang sesuai.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, Kerajaan Sarawak memilih komputer tersebut kerana ia mempunyai banyak kelebihan yang menepati penekanan asas kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Komputer ini mempunyai banyak kelebihan berbanding komputer standard antaranya ia lebih murah 40 peratus dan mempunyai keserasian dengan perisian Microsoft Office.

“Malah ia mempunyai fungsi unik yang disebut “internet-in-a-box”, sebagai rangkaian intranet dan memastikan pembelajaran masih boleh berlaku walaupun tidak ada sambungan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii yang meminta Kerajaan Sarawak menjelaskan keputusan untuk membekalkan 1,265 sekolah rendah dengan komputer Raspberry Pi.

Tambahnya, komputer Raspberry Pi lebih sesuai untuk penggunaan pelajar sekolah rendah di mana penekanan adalah pada asas ICT kemahiran dan dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Selain itu, komputer ini banyak digunakan di sekolah-sekolah rendah seluruh Great Britain, Amerika Syarikat dan beberapa negara di Afrika dan Amerika Selatan.

“Penggunaannya untuk tujuan pendidikan semakin popular di peringkat antarabangsa dan untuk mempersiapkan pelajar kita bukan hanya sebagai pengguna teknologi tetapi juga pencipta teknologi baru.

“Objektif program adalah untuk memastikan semua anak muda Sarawak diberi peluang untuk belajar dan mengembangkan kemahiran ICT seawal mungkin,” ujarnya.

Tegasnya, selain untuk memperkasakan pelajar menggunakan ICT bagi pembelajaran yang lebih berkesan, kementerian tidak mempunyai motif tersembunyi mahu memperoleh keuntungan dari program tersebut.

“Program ini boleh menyumbang untuk meningkatkan prestasi pelajar dan mengurangkan jurang bandar dan luar bandar tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk mendapatkan publisiti murahan,” katanya lagi.

Raspberry Pi adalah komputer bersaiz kad kredit yang boleh disambung kepada monitor dan papan kekunci, yang siap dimuatkan dengan pelbagai maklumat.