KUCHING: Terima kasih Suara Sarawak yang pertama bersuara mewakili hampir 80 kru kapal yang dianiaya bekerja tanpa gaji di sebuah kapal di Romania.

Penghargaan itu dizahirkan oleh salah seorang kru kapal berkenaan, Andrian Ambas Richards ketika menghubungi Suara Sarawak semalam.

Dengan nada gembira Andrian memaklumkan, tanpa bantuan akhbar ini yang menyiarkan kisah mereka pada 8 November lalu, mereka tidak mungkin dapat kembali ke tanah air.

“Suara Sarawak terutamanya anda, Diyana (pemberita) banyak membantu kami.

“Kerana kamu juga kami berpeluang menghubungi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mendapatkan bantuan.

“Bantuan daripada Suara Sarawak telah menyelamatkan kami daripada terus dianiaya dan Suara Sarawak juga telah berjaya menyuarakan suara kami kepada Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Kronologi pembongkaran penganiayaan rakyat Sarawak ini bermula sejak Andrian yang ketika itu masih berada di atas kapal di perairan Romania menghubungi Suara Sarawak pada 6 November lalu.

Menceritakan kisah sengsara dan duka mereka menjadi buruh paksa tanpa gaji mendorong akhbar ini menyiarkan laporan mengenai mereka setelah menghubungi Wan Junaidi berikutan kejayaan beliau membawa pulang rakyat Sarawak yang menjadi tahanan di sebuah penjara di Kemboja tahun lalu.

Tindakan pantas Wan Junaidi yang segera menghubungi Kedutaan Malaysia di Romania pada hari yang sama dan seterusnya khabar baik mereka akan dibawa pulang telah disampaikan beliau sendiri kepada Suara Sarawak keesokan harinya, 7 November.

Seterusnya Wan Junaidi memberitahu, pada Mesyuarat Parti PBB pada 8 November lalu, beliau sendiri memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk tindakan lanjut.

Tanpa berlengah, usaha Wan Junaidi telah diselesaikan oleh TYT Abdullah Zawawi Tahir dan pegawai konsul, Amera, seterusnya kumpulan pertama kru kapal diterbangkan ke Kuala Lumpur bermula 8 November diikuti kumpulan kedua dan ketiga pada 9 November menerusi tiga syarikat penerbangan iaitu Qatar Airlines, Turkish Airlines dan KLM.

Ketibaan mereka di Kuala Lumpur pada 10 November telah disambut oleh wakil Rumah Sarawak bagi menguruskan ujian calitan Covid-19 dan penempatan kuarantin mandatori 14 hari mereka.

Menerusi wakil Rumah Sarawak, Suara Sarawak difahamkan mereka telah mendapat arahan daripada Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah untuk menguruskan semua perkara – ujian calitan hinggalah kuarantin.

Hari ini, kesemua rakyat Sarawak ini selamat kembali ke Miri setelah tamat tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.