SRI AMAN: Seorang buruh binaan menanggung kerugian sejumlah RM5,940 akibat ditipu oleh skim pinjaman wang dalam talian yang ditawarkan melalui Facebook, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Maria Rashid berkata kejadian bermula selepas mangsa berusia 26 tahun itu tertarik untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM80,000 menerusi skim terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Robert melalui Whatapp, yang menyuruh mangsa melakukan beberapa transaksi bayaran berikutan permohonan pinjaman yang dilakukan oleh mangsa telah diluluskan.

“Mangsa diberitahu untuk membuat bayaran seperti bayaran insuran dan bayaran proses pinjaman ke akaun pihak ketiga diberikan oleh suspek.

“Akibatnya, mangsa telah membuat tiga transaksi pemindahan wang ke atas dua akaun bank berbeza berjumlah lebih kurang RM5,940 di antara 17 hingga 20 November tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya,mangsa menyedari ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan selepas itu, namun wang pinjaman masih tidak diterima.

Pada masa sama Maria turut mendedahkan sebanyak 205 kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan nilai kerugian melebihi RM2.9 juta dilaporkan berlaku di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 22 November ini.