KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap agar Sarawak dapat menyediakan perkhidmatan perbankan digital dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak kini sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara mengenai persetujuan permohonan untuk mendapatkan lesen perbankan digital.

“Perbankan digital harus selari dengan misi kita untuk menuju ke arah negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

“Saya berharap pada 2022 atau 2023, perbankan digital dapat diwujudkan dan perlu selaras dengan infrastruktur digital kita terutamanya 5G dan 4G,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar Bajet 2021 Sarawak: Menuju Masyarakat Berpendapatan Tinggi pada tahun 2030 yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), hari ini.

Abang Johari menegaskan, dengan transformasi digital tersebut, beliau menjangkakan pada masa yang akan datang bank-bank di Malaysia akan berteraskan transaksi digital.

“Jika anda mengkaji industri perbankan ketika ini, banyak bank yang mempunyai cawangan dan bank runcit.

“Bagaimanapun, apabila masa tiba dengan transformasi digital tersebut, industri akan mempunyai beberapa cawangan dan transaksi digital.

“Saya rasa itulah sebabnya Malaysia mengeluarkan lesen ini,” katanya sambil menambah bahawa negara-negara seperti Singapura telah menggunakan sistem perbankan baharu ini.

Beliau menjelaskan, Sarawak telah memperkenalkan sistem pembayaran mudah alih melalui Sarawak Pay dan ia berjaya.

“Asasnya lebih kurang sama dengan perbankan digital kecuali bank digital diawasi oleh Bank Negara.

“Sama seperti bank lain, tetapi aliran dana berada dalam kerangka Bank Negara,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan peningkatan taraf infrastruktur digital melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM), komuniti perniagaan dapat memanfaatkannya melalui konsep perbankan digital apabila infrastruktur asas selesai dalam masa lima hingga sepuluh tahun.

“Setelah anda memiliki sistem perbankan yang cekap, saya rasa perniagaan anda akan muncul sebagai pusat serantau,” ujarnya lagi.