LUBOK ANTU: Dua puluh lorong tikus dan 10 lorong gajah telah dikenal pasti sebagai laluan panas aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan barang kawalan di sepanjang kawasan sempadan, bermula dari Telok Melano hingga ke Naga Badau.

Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, rata-rata laluan tersebut terletak tidak jauh dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk di Tebedu, Serikin, Biawak dan Lubok Antu.

Dedahnya, penutupan sementara ICQS sempadan SarawakIndonesia sepanjang penularan wabak Covid-19 menyebabkan mereka menjadikan laluan tikus sebagai pilihan utama untuk masuk ke Sarawak.

Beliau bagaimanapun menegaskan, aktiviti keluar masuk Pati khususnya di kawasan kawalan Briged Ketiga setakat ini berjaya dikawal dengan baik.

Tegasnya lagi, operasi kawalan di sempadan tidak pernah berkurang sebaliknya semakin meningkat dengan pertambahan kekuatan anggota operasi seramai 140 orang.

“Kita telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan di sempadan dengan bantuan Ops Kerangka sebagai tambahan daripada Ops Keras yang dilakukan sebelum ini.

“Setakat ini, aktiviti-aktiviti termasuk Pati masuk secara haram masih dalam kawalan. Kita berjaya menghalang kemasukan mereka hasil atur gerak yang dilancarkan.

“Modus operandi secara berkala iaitu pengintipan serta serah dan tangkap (Serkap) memang dilakukan secara berkala di kawasan sempadan tanpa gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kampung Pakit A sempena program Jiwa Murni, pada Sabtu. Tambahnya, pasukan risikan turut dihantar ke beberapa lokasi panas sempadan untuk membantu mencegah aktiviti kemasukan Pati daripada berlaku.

Katanya, mana-mana Pati yang ditahan akan diserahkan kepada pihak polis terlebih dahulu sebagai rekod sebelum dibawa balik untuk dihalau balik ke negara asal melalui sempadan.

“Buat masa ini kita tidak menyerahkan kepada polis untuk proses kuarantin tetapi mereka akan diarah untuk berpatah balik ke Indonesia.

“Kita tidak membiarkan mereka terlepas begitu sahaja. “Kita turut membuat rekod dengan laporan polis supaya sekiranya mereka masih masuk tanpa kebenaran, kita akan menahan mereka,” ujarnya.