KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menggesa orang ramai agar memastikan anjing mereka divaksin bagi mencegah penularan wabak rabies.

Menurutnya, rabies yang menjangkiti anjing dapat dicegah dengan mendapatkan vaksin rabies setiap tahun yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan Sarawak.

“Perkara tersebut akan membantu mencegah penularan rabies. “Saya tidak mahu Sarawak dikenali sebagai tempat apabila orang melihat anjing, mereka mula lari sekiranya anjing itu menghidap rabies. Ia harus sebaliknya,” katanya dalam hantaran Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai seorang remaja berusia 16 tahun maut akibat rabies baru-baru ini, sekali gus sebagai kes rabies keenam tahun ini dan ke-28 sejak wabak ini diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengumumkan kes rabies pada Sabtu menjelaskan, remaja itu meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (SGH), dan disahkan dijangkiti wabak rabies hasil ujian makmal pada 12 November.

“Tidak ada sejarah gigitan anjing atau haiwan lain. Mangsa hanya mempunyai beberapa kesan calar di kaki kanan, tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberikan perincian mengenai perkara ini,” ujarnya.

Dr Noor Hisham memberitahu, mangsa mempunyai empat kucing dan seekor anjing peliharaan, dan semuanya dalam keadaan sihat serta tidak menunjukkan perubahan tingkah laku, walaupun tidak pernah diberi vaksin.

Justeru, Dr Sim menegaskan rakyat Sarawak perlu memainkan peranan dengan serius dalam membendung penularan rabies kerana banyak sumber telah digunakan untuk membendung wabak itu sejak 2017.

“Rabies kini menjadi krisis kesihatan awam yang dilupakan di Sarawak. “Takziah kami ucapkan kepada keluarga mangsa, ini sangat menyedihkan apabila kita kehilangan seorang lagi rakyat Sarawak akibat rabies.

“Kita telah menghabiskan banyak masa, wang dan publisiti untuk mengekang rabies sejak 2017, namun kita kehilangan seorang lagi rakyat Sarawak.

“Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan mereka masing-masing dengan serius, ” jelasnya.