SARIKEI: Pemimpin masyarakat perlu meletakkan integriti sebagai keutamaan bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat tepat dan sahih.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, maklumat khususnya berkaitan dasar kerajaan dan program pembangunan harus disampaikan dengan jelas bagi mengelak salah faham rakyat.

Menurutnya, perkembangan teknologi digital memberi cabaran baharu apabila berlaku ledakan pelbagai maklumat di media sosial.

“Penggunaan wadah maya mencatatkan peningkatan hampir setiap hari. Malah, kita saling berinteraksi antara satu sama lain melalui pelbagai aplikasi digital termasuk telefon pintar, tablet dan lain-lain lagi.

“Fenomena ini menuntut pelbagai pihak termasuk ketua masyarakat untuk menguasai bidang ini,” katanya pada Program Pembangunan dan Pendidikan Komuniti di Dewan Perpaduan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, maklumat tepat perlu dikongsi agar semua pihak tidak ketinggalan dan keliru mengenai dasar serta perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam pada itu katanya, ketua masyarakat harus bersikap adil dan telus melaksanakan tanggungjawab masing-masing sejajar dengan peranan mereka sebagai mata dan telinga kerajaan.

Pada masa yang sama katanya, sikap bertanggungjawab pemimpin masyarakat akan membolehkan rakyat yang layak tidak ketinggalan menerima bantuan kerajaan.

“Selain rajin turun padang, mereka juga perlu bersikap lebih tegas dan sentiasa memantau projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan masing-masing.

“Laporan dan maklumat serta data yang lengkap juga penting bagi memudahkan kerajaan mengenal pasti masalah dan keperluan rakyat,” katanya.

Program sehari bermula jam 8.00 pagi itu dihadiri lebih 200 penduduk pelbagai kaum dari sekitar Sarikei. Pelbagai agensi turut mengambil bahagian termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Majlis Daerah Sarikei, Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional Sarikei.