MINGGU kedua pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah atau PDPdR yang lepas telah menyaksikan sebilangan besar guru di Sarawak memberikan komitmen untuk melaksanakan pengajaran meskipun tidak perlu bersemuka di sekolah.

Kesan lebih dirasai murid di pedalaman seperti Kapit, Ulu Baleh, Belaga, Marudi, Limbang dan Lubok Antu ini kerana sekolah di sini jauh di pedalaman dan agak sukar mendapat capaian Internet.

Menyedari kekurangan ini pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sudah pun bersedia (selepas menilai kelemahan PKP fasa pertama) dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah yang lebih terancang mengikut kesesuaian persekitaran pelajar.

Dalam penataran PDPdr yang lepas, para guru telah diberi taklimat tentang tiga kaedah yang boleh diguna pakai.

Kaedah tersebut ialah dalam talian yang boleh menggunakan platform Google Meet , DELIma, Google Classroom dan lain-lain aplikasi yang boleh memberikan respon interaktif antara guru dengan murid di rumah masing-masing.

Kaedah ini sesuai di kawasan bandar besar yang mempunyai liputan Internet yang menyeluruh.

Kaedah kedua ialah luar talian, yakni pembelajaran boleh dijalankan menerusi peranti, namun mempunyai keterbatasan tertentu seperti berinteraksi secara maya.

Maka pilihan luar talian menuntut guru memberikan pengajaran secara muat turun soalan dan dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan telegram.

Kaedah ini amat sesuai di kawasan bandar yang mempunyai liputan Internet yang baik namun mempunyai kekurangan bagi pelajar yang tidak mampu menyediakan komputer riba atau komputer di rumah.

Atau mungkin juga peranti yang tersedia di rumah tidak cukup untuk menampung keperluan tiga atau empat orang anak yang belajar.

Jadi kaedah luar talian sangat membantu. Bagi kaedah terakhir ialah kaedah yang sangat sesuai diguna pakai oleh guru yang mengajar di pedalaman iaitu luar tapak.

Guru akan menyediakan lembaran kerja dan senarai kerja sama ada berbentuk latihan berfokus atau berasaskan projek untuk dibuat oleh murid-murid di rumah.

Kaedah ini sangat sesuai untuk sekolah yang mempunyai jumlah murid yang kecil dan berdekatan sekolah.

Namun ada juga sekolah yang mengambil inisiatif untuk menghantar dan mengajar murid ini di pedalaman.

Baru-baru ini SK Nanga Oyan Kapit membuat inisiatif memberikan pengajaran di ruai rumah panjang.

Ia harus dipuji kerana guru dan murid masih boleh dikategorikan selamat kerana berada di kawasan hijau.

Pematuhan SOP juga mesti diikuti.

Kaedah yang ditularkan dengan gelaran Ruai Meet ini sememangnya menarik perhatian banyak pihak.

Meskipun berlaku sedikit polemik dalam kalangan warganet di media sosial, ia tetap menunjukkan guru masih cekal berusaha untuk memastikan pendidikan tidak terabai sehingga cuti sekolah secara rasminya bermula pada 18 Disember.

Atas kesedaran ini juga Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyediakan rangkaian Internet dan komunikasi tempatan.

Ia adalah berasaskan kepentingan teknologi komunikasi dan maklumat bagi memudahkan pengurusan perniagaan dalam talian atau e-dagang yang berkembang dengan kewujudan gig economy, maka sektor pendidikan juga tidak ketinggalan.

Saya yakin ia akan memberikan kesan menyeluruh kepada masyarakat di segenap pelosok Bumi Kenyalang.

Ini kerana ia akan memenuhi peningkatan kualiti hidup seperti kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan sektor ekonomi luar bandar yang boleh menggunakan Internet sebagai platfom e-niaga yang boleh memberikan nilai tambah.

Sebagai guru, saya sangat berbesar hati kerana ia pasti akan membawa Sarawak melangkah ke hadapan dalam bidang pendidikan.

Malah ia sebagai langkah untuk mewujudkan pendidikan dalam talian yang bercirikan Sarawak. Semoga Ruai Meet dapat diangkat menjadi platform pembelajaran dalam talian untuk murid luar bandar dengan kerjasama pusat Internet di kampung pesisir dan di rumah panjang pedalaman.

Semoga impian ini terlaksana. Insya-Allah

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.