KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 260 sekolah yang terletak di sepanjang tebing sungai dan sering dilanda banjir akan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Beliau berkata proses pemindahan itu, yang akan dilakukan sebagai tambahan kepada usaha menaik taraf dan membaik pulih sekolah daif di negeri ini, akan mengambil sedikit masa kerana tapak baharu sekolah perlu mendapat kelulusan Jabatan Tanah dan Survei.

“Tiada guna menaik taraf (sekolah di tebing sungai) kerana setiap tahun (sekolah) akan dibanjiri oleh limpahan air sungai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Edisi Khas Sains dan Teknologi Inovatif untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) 2020 di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Mengenai sekolah daif di seluruh negeri yang dibaiki menggunakan perjanjian pembayaran pinjaman kontra sebanyak RM1 bilion antara kerajaan Persekutuan dengan negeri, beliau berkata RM700 juta telah dibayar kepada Kementerian Pendidikan untuk menaik taraf dan mengubah suai sekolah berkenaan.

“Kita masih mempunyai baki RM300 juta dan jumlah itu untuk menaik taraf dan mengubah suai 55 sekolah dan membina beberapa bangunan baharu,” katanya dan menambah wang berkenaan akan dikeluarkan kepada Kementerian Pendidikan selewat-lewatnya bulan hadapan.

Manyin berkata dengan pinjaman RM1 bilion itu, ia akan dapat menampung lebih daripada 50 peratus sekolah daif di Sarawak dan percaya di bawah Belanjawan 2021, Sarawak akan mampu mengurangkan bilangan sekolah daif di negeri ini.

“Kami gembira dengan peruntukan dalam Belanjawan 2021 tetapi masih tidak tahu berapa banyak Sarawak akan dapat daripada peruntukan RM650 juta,” katanya.

Mengenai inisiatif lain untuk menyediakan komputer digital kepada semua 1,265 sekolah rendah di Sarawak, beliau berkata walaupun mahal, komputer berkenaan lebih baik berbanding komputer biasa kerana matlamat utamanya ialah mengurangkan jurang digital antara sekolah bandar dengan luar bandar.

Beliau berkata Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri akan menyewakan komputer berkenaan ke sekolah-sekolah dengan kontraknya termasuk mengedar, memasang, menyelenggara dan memberi jaminan selama tiga tahun selain menyediakan latihan.