MUKAH: Siapa dapat membayangkan di Kampung Tellian Mukah akan ada pasar terapung seperti di Vinh Long Vietnam? “Ya, bakal ada dan dijangka dilancar hujung tahun ini,”kata Adun Tellian Yusibnosh Balo.

Jelasnya, sungai merupakan satu aset penting dalam kehidupan penduduk Mukah dan impian untuk mendirikan pasar terapung itu antara langkah pemuliharaan sungai, budaya dan warisan penduduk setempat.

“Malah bagi jangka panjang jika impian ini menjadi kenyataan, produk pelancongan lain dapat kita tingkatkan selari dengan kewujudan Pasar Terapung Sungai Tellian,” katanya pada sidang media MukahXtra di Pusat Khidmat Dun Tellian pada Isnin.

Jelas Yusibnosh, projek tersebut bakal dilancarkan hujung tahun ini di Kampung Tellian.

“Sungai Tellian dipilih sebagai perintis untuk projek ini kerana kesesuaiannya selain mempunyai keunikan dan tarikan seperti Jerunei, Lamin Dana, Muzium Sapan Puloh mini,” katanya.

Tambahnya, projek berkenaan merupakan salah satu langkah untuk melestarikan Bahagian Mukah dalam sektor pelancongan khasnya melalui sungai yang kini perlu dibangunkan.

“Selain itu, projek yang diluluskan di Bahagian Mukah melibatkan projek pemindahan dan keceriaan Kampung Penakub Hilir dan Kampung Datuk.

Ia menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 nanti.

“Saya berharap projek Tebingan Sungai Mukah dapat dilaksanakan tahun hadapan juga bagi membantu mengatasi masalah hakisan selain dapat membantu meningkatkan produk pelancongan di sini,” katanya.

Katanya, adanya aktiviti penduduk sedia ada pastinya menarik perhatian orang luar untuk menikmati sendiri pengalaman etnik Melanau seperti ekplorasi mencari ulat sagu, ekplorasi ke sungai kecil dan persembahan kebudayaan.

“Ini termasuk menyusuri sungai pada waktu petang menggunakan bot dan menaiki perahu untuk memberi pengalaman baharu kepada orang luar yang datang ke Mukah,” jelasnya.

Katanya, kini kertas kerja untuk projek berkenaan dihantar oleh Jabatan Pengairan dan Saliran kepada Kerajaan Sarawak melibatkan 1.45 kilometer panjang kawasan dari muara Sungai Tellian hingga ke tapak Kaul Mukah.

“Kita berharap permohonan ini dapat diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.

“Jika ia diluluskan secara berfasa, fokus pertama mengatasi hakisan di beberapa tebingan di Kampung Penakub Hilir dan kawasan sekitar sebelum melaksanakan projek pasar terapung,” katanya.