KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak melancarkan dua pusat penyelidikan baharu untuk meningkatkan penglibatan dalam pelbagai bidang.

Dua pusat tersebut adalah Pusat Penyelidikan Produk Halal yang merupakan kerjasama dengan Universiti Beijing Wuzi dan Persatuan Pendidikan dan Kebudayaan Asia China (ACEC), manakala Pusat Penyelidikan Herba & Etnomedikal bersama Universiti Perubatan Anhui China dan ACEC.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, dalam menghadapi krisis semasa yang tidak mengenal sempadan, amat penting untuk pihaknya terus terlibat dan bekerjasama dengan universiti dan industri antarabangsa.

“UiTM sebagai universiti awam terbesar di Malaysia kini aktif melakukan penyelidikan kolaboratif dengan rakan tempatan dan luar negara untuk menyiapkan tenaga kerja masa depan negara.

“Justeru, tindakan yang lebih efisien diperlukan terutamanya dalam perkongsian sumber dan penyelesaian teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Inovatif untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas 2020 melalui rakaman video di sini, hari ini.

Menurutnya, persidangan tersebut bukan sahaja untuk membuat jalinan kerjasama, malah seluruh dunia sedang menanti inovasi terkini dalam perkembangan sains dan teknologi yang dapat membantu kita menghadapi pasca-Covid-19 dengan jaminan kesejahteraan.

“Justeru, besar harapan kami bahawa persidangan hibrid ini akan mempercepat penyelidikan dalam mencari vaksin dan ubat penenang yang sesuai.

“Walaupun tidak dapat dinafikan banyak negara sedang melakukan kajian sama dan pelbagai penyelidikan akan dihasilkan berkaitan pandemik ini,” ujarnya.