LUBOK ANTU: Tanpa gemerlapan cahaya kota, tanpa kemudahan asas – langsung tidak melemahkan semangat seorang guru, Siti Khadijah Sazali, 37, untuk memberikan sepenuh tanggungjawab mendidik anak bangsa di Sekolah Kebangsaan Nanga Tibu, di sini.

Sebaliknya, Cikgu Khadijah menganggapnya sebagai cabaran untuk mendidik 86 murid sekolah itu menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.

Inilah kisah guru sejati yang umpama lilin membakar diri, Cikgu Khadijah sanggup menolak nikmat bekalan elektrik 24 jam dan Internet seperti rakan seperjuangan di bandar namun bersyukur kerana di sini, beliau dapat menikmati keindahan alam semula jadi dan melihat sendiri betapa tenangnya kehidupan di pedalaman Batang Ai.

“Seronok sebenarnya di sini. Budaya kemasyarakatannya tinggi kerana sentiasa mementingkan hubungan kekeluargaan.

Saya dan mereka seperti bersaudara.

“Masyarakat di sini baik belaka.

Tiada masalah perbezaan agama sebaliknya menganggap orang yang datang di tempat mereka khususnya guru seperti ahli keluarga sendiri.

“Mula-mula saya datang ke sekolah menggunakan jalan balak yang memakan masa agak lama.

Ditambah laluannya yang tidak rata, ia sangat mencabar.

“Kenangan pertama yang akan saya ingat sampai bila-bila ialah belajar menghidupkan jana kuasa.

Hidupkan jana kuasa… saya tidak pernah terfikir menarik kabelnya dan ia berfungsi.

Kalau bernasib baik, jana kuasa tidak bermasalah, bercahayalah kami sepanjang malam.

“Di sini juga tiada kedai. Kalau mahu mendapatkan jaringan Internet, perlu pergi ke kawasan berbukit dan tinggi,” katanya.

Setelah dua tahun berkhidmat, Cikgu Khadijah kini lebih suka memilih jalan sungai yang memakan masa dua jam berbanding jalan darat yang penuh liku terutamanya apabila pulang ketika musim cuti sekolah.

Cikgu Khadijah yang berasal dari Sri Aman berkongsi cerita, guru tidak digalak menggunakan laluan sungai jika cuaca buruk kerana arusnya boleh bertukar ganas pada bila-bila masa.

“Orang luar yang baru datang ke sini belum tentu lagi berani menaiki sampan kecil menyusuri sungai.

Percayalah, suasananya amat indah dengan airnya berwarna kehijau-hijauan.

“Jadi pesan saya kepada mana-mana guru yang dapat peluang mengajar di pedalaman, anggaplah ini sebagai cabaran “Tuai pengalaman di sini, di pedalaman.

Dekati komuniti dan jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadinya.

“Apabila keluar dari sini, kita tidak akan dapat menikmatinya lagi,” katanya kepada Suara Sarawak.

Cikgu Khadijah ketika ditemui baru balik dari Sri Aman dengan bayi dan suaminya di Jeti Sampan Batang Ai.

Hari itu, Cikgu Khadijah menunggu bapa mentuanya menjemput mereka sekeluarga di jeti berkenaan untuk balik semula ke Nanga Tibut.

“Ia memakan masa hampir dua jam untuk tiba di sini.

Pergi balik memakan masa empat jam perjalanan sungai,” katanya merenung sungai.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Nanga Stamang, Lydia Utek, 41 memberitahu, masyarakat pedalaman di Batang Ai biasanya bertandang ke pekan Lubok Antu pada musim cuti sekolah atau hujung minggu untuk membeli keperluan harian.

Dedahnya, bayaran dikenakan untuk perahu tambang bagi dewasa RM10 dan RM5 untuk kanak-kanak.

“Bagi orang luar yang ingin menggunakan perkhidmatan perahu sepanjang hari, bayaran RM120 dikenakan untuk perjalanan pergi dan balik,” katanya.

Ditanya mengenai aktiviti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Lydia menjelaskan, jeti itu agak sepi berbanding sebelum ini.

“Setiap hujung minggu saya akan ke pekan Lubok Antu untuk melawat anak saya yang bersekolah di sana.

“Selepas itu, saya ke pasar membeli keperluan harian termasuk barang pertanian seperti baja.

Sekarang memang Batang Ai agak sepi mungkin disebabkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga susulan Covid-19.

“Kalau tidak, jeti ini menjadi tumpuan.

Namun jarang ada yang mahu pergi ke kawasan pedalaman,” jelasnya lanjut.

Suaminya Thomas Angat, 39, mendedahkan, pendapatannya sebagai penambang turut terjejas sepanjang PKP.

“Biasanya, ramai pelanggan terutamanya guru yang mahu pergi ke pekan untuk akses Internet.

Sekarang sepi, mungkin penduduk masih ada yang takut untuk keluar ke bandar,” katanya.

Selain itu katanya, aktiviti utama seperti mengusahakan tanaman padi, lada, kelapa sawit masih diteruskan di kampungnya.

“Ada juga yang menangkap ikan untuk dijual. Kami melakukan apa sahaja pekerjaan selagi mendatangkan sumber rezeki,” katanya.

Batang Ai terletak kira-kira 150 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Di sini juga, ada stesen hidro elektrik – Empangan Batang Ai – antara empangan terbesar di Sarawak yang beroperasi sejak 1985.