KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan program “Community Drumming” ke 137 kawasan baru di Sarawak, termasuk beberapa pulau di Semenanjung dan Sabah menerusi peruntukan sebanyak RM200 juta iaitu tambahan RM50 juta bagi tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata semua cadangan kawasan termasuk kawasan baharu bagi program pengedaran barangan perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan “Community Drumming” 2021 telah dinilai dengan adil dan telus melalui jawatankuasa penilaian kawasan di kementerian.

“Hanya kawasan yang benar-benar layak sahaja akan dimasukkan dalam program ini.

“Dengan peluasan kawasan ini, saya percaya lebih ramai penduduk akan dapat menikmati manfaat daripada program ini bagi tahun depan, mengatasi manfaat yang telah diberikan pada tahun ini,” katanya dalam ucapan menggulung Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, program “Community Drumming” bertujuan memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman supaya dapat membeli tujuh barangan keperluan pada harga yang ditetapkan sama seperti di bandar.

Alexander berkata sehingga kini, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 1.1 juta penduduk di kawasan pedalaman di seluruh Malaysia.