SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, hingga kini, banyak sektor yang berkaitan pelancongan di negara kita gulung tikar, kerana tidak mampu untuk bertahan lagi.

Namun setelah lapan bulan, terdapat sedikit petanda positif, tetapi masih tidak berupaya menghidupkan beberapa sektor yang tidak sanggup lagi menghadapi situasi getir ini, dan pilihan terakhir ialah menutup operasi.

Ia bukan sahaja berlaku di negara kita, tetapi seluruh dunia menerima ‘penangan Covid-19’ ini, lebih-lebih lagi negara yang bergantung sepenuhnya terhadap sektor pelancongan sebagai nadi ekonomi.

Malah banyak negara di luar sana lebih teruk daripada apa yang menimpa negara kita sekarang ini. Beberapa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh PKP, sekurang-kurangnya memberi sinar harapan kepada penggiat sektor ini.

Misalnya RM35 juta untuk Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini sedikit sebanyak melegakan mereka yang berkaitan.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Ia dilihat berperanan untuk menghidupkan semula, malah meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan.

Dalam konteks Sarawak pula, pihak kementerian pelancongan mengambil serius isu ini dan pelbagai inisiatif telah dan akan dilakukan bagi menyemarakkan semula sektor ini, sejajar dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk memasarkan Bumi Kenyalang ke serata dunia.

Sebagai sebuah negeri yang unik dari segi masyarakat dan bentuk muka bumi, sesungguhnya Sarawak mempunyai potensi yang amat besar dalam bidang pelancongan, terutama bagi pengembara asing, yang sentiasa dahagakan alam semula jadi luar biasa, yang tidak terdapat di negara lain.

Di samping itu, kita juga mempunyai kelebihan dari segi masyarakat pelbagai budaya, kaum, bangsa dan agama, yang boleh hidup aman damai, menjadikan Sarawak satu dalam seribu.

Malah Kerajaan Sarawak juga meneroka beberapa destinasi pelancongan baharu di negeri ini yang sebelum ini tidak dimanfaatkan.

Misalnya di Mukah, terdapat pelbagai tempat menarik yang cukup bersejarah untuk dikunjungi. Malah masih ramai rakyat Sarawak yang belum mengetahui apa yang ada di Mukah.

Begitu juga di tempat lain di negeri ini, misalnya di Bau, Simunjan, Lundu yang mempunyai daya tarikan tersendiri yang perlu dimanfaatkan. Oleh itu, sebagai permulaan sepanjang PKP, PKPB dan PKPP ini, Kerajaan Sarawak menggalakkan pelancongan domestik, yang melibatkan rakyat tempatan untuk melancong dalam negeri. Sebelum kita mempromosi produk kita ke luar negara, adalah lebih baik kita promosikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini.

Sementara itu, sektor pelancongan kesihatan dikenal pasti sebagai penyumbang nilai tambah industri pelancongan kita. Oleh itu, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2021 juga diharap dapat memperhebatkan perancangan dalam bidang berkaitan.

Misalnya, penggiat kebudayaan yang mengharapkan dana yang disediakan untuk menghidupkan semula aktiviti, di samping menambah pendapatan mereka yang agak suram sejak akhir-akhir ini.

Dengan kata lain, segalanya diharap dapat memberi kelangsungan terhadap program kesenian dan kebudayaan, sekali gus menyemarakkan semula kegiatan industri pelancongan domestik.

Ramai yang menyifatkan Belanjawan 2021 mampu menambah baik dengan tumpuan lebih kepada penggiat industri ini di semua peringkat, terutama dalam membantu meringankan beban serta memulihkan golongan yang sangat terkesan dalam industri itu.

Belanjawan 2021 juga seperti diumumkan sebelum ini, turut memperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur serta mempergiatkan promosi Kampung Budaya di empat negeri, iaitu Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak. Peruntukan tersebut dilihat sebagai ‘talian hayat’ untuk memperkasakan semula aktiviti kesenian mahupun kebudayaan di kampung budaya negeri terbabit.

Yang pasti, golongan terkesan perlu menyediakan pelan dan perancangan khas bagi mengimbangi tataurus yang lebih efisien. Perancangan rapi amat penting kerana kita tidak tahu bila musibah Covid-19 ini akan berkhir. Tahun depan? Atau masih berleluasa?

Hakikatnya pada 2020, sektor pelancongan atau yang berkaitan dengannya menempuhi cabaran yang amat getir. Oleh itu, mereka memerlukan sokongan dan dorongan untuk terus ‘hidup’ dalam situasi yang amat mencabar ini.

Pada masa yang sama penggiat industri ini mesti berani dan cekal menghadapi segala ‘onak dan duri’ ini. Kalau tidak dipecahkan ruyung, anda tidak akan mendapat sagunya.