BARU-BARU ini Sarawak dikejutkan dengan kes rakyat tempatan terkandas di luar negara akibat tertipu tawaran pekerjaan gaji lumayan dengan bayaran mata wang dolar Amerika (AS).

Nasib malang hampir 80 rakyat Sarawak yang dianiaya sebagai buruh paksa di sebuah kapal di Romania itu telah dipaparkan akhbar ini pada awal November menyaksikan pembongkaran satu lagi kes rakyat tempatan yang berjaya dibawa pulang menerusi hubungan baik Kerajaan Malaysia dengan kerajaan negara asing.

Kisah penderitaan mereka itu bermula pada 7 November yang lalu ketika ahli keluarga salah seorang krew kapal menghubungi penulis bagi memohon bantuan untuk menyiarkan laporan berita mengenai penganiayaan terhadap anak mereka di Romania.

Meluah dengan nada sayu, wakil keluarga itu mendedahkan anaknya dan rakan-rakan pernah membuat aduan kepada kedutaan namun tiada tindakan yang diambil, malah pihak pengurusan kapal telah melaporkan mereka kepada pihak berkuasa tempatan dan mengugut mereka.

Risau terhadap nasib malang mereka, wakil itu percaya kuasa media mampu membantu menyiarkan kisah krew kapal berkenaan agar mendapat perhatian pihak kerajaan dan berharap nasib mereka dibantu.

Menyantuni keluarga mangsa, penulis telah menghubungi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berikutan mengambil kira kejayaan beliau pernah membuat rundingan dengan Kerajaan Kemboja tahun lalu, bagi kes sindiket penipuan pekerjaan rakyat Sarawak di negara itu.

Setelah dikhabarkan kepada Kerajaan Sarawak melalui Wan Junaidi, tidak sampai 72 jam (tiga hari) iaitu pada 9 November, penulis dihubungi semula oleh beliau yang mendedahkan kesemua anak kapal malang itu akan diterbangkan pulang ke Kuala Lumpur bermula pada hari yang sama (9 November) hingga 12 November menerusi tiga syarikat penerbangan.

Akhirnya kesemua mereka selamat tiba dan menjalani kuarantin di Kuala Lumpur hingga 23 November ini dan seterusnya diterbangkan pulang ke Sarawak pada hari yang sama.

Rentetan duka mereka akhirnya berakhir namun persoalan penulis di sini ialah adakah kisah sengsara mereka di Romania merupakan cerita terakhir tentang rakyat Sarawak dianiaya di luar negara?

Jika disusun semula kisah penipuan sindiket pekerjaan di negara asing pernah dibongkar oleh penulis, bermula dengan kes pada awal tahun 2019 lalu iaitu hampir 50 rakyat Sarawak menjadi tahanan penjara di Kemboja kerana ditangkap pihak berkuasa negara itu atas tuduhan menjalankan judi dalam talian.

Ketika mangsa kembali ke Kuching, penulis berkesempatan menemu bual mangsa yang mengakui gelap mata dengan tawaran gaji lumayan hanya bekerja sebagai pegawai pemasaran di negara berkenaan.

Namun gaji lumayan itu hanya dibayar sekitar dua bulan pertama dan seterusnya tiada gaji, malah mereka dikurung di sebuah rumah untuk melakukan pekerjaan judi secara dalam talian.

Diakui oleh setiap mangsa juga mereka dibawa dan dipengaruhi oleh ejen pekerjaan yang merupakan rakyat Sarawak sendiri yang tergamak memperdagangkan anak Sarawak ke negara asing demi mengaut keuntungan pantas.

Berbalik kepada kes di Romania, penulis berkesempatan menemu bual beberapa mangsa yang mengakui terdapat ejen tempatan yang menawarkan kerja di kapal di Romania.

Terdesak akibat kehilangan pekerjaan di Mexico pada awal tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), salah seorang krew mendedahkan tawaran ejen yang menyebut bayaran gaji dalam mata wang dolar AS menyebabkan dirinya bersama rakan-rakan yang lain ‘cair’.

Tanpa berfikir panjang mereka melangkah meninggalkan Bumi Kenyalang untuk bekerja di Kapal Bigfoot 1 di Romania yang pada awalnya gaji dibayar secara konsisten namun sejak September gaji tidak kunjung tiba tetapi tenaga mereka dikerah.

Sekiranya ahli keluarga mangsa tidak tampil untuk menghubungi penulis sebelum ini, apakah nasib mereka di atas perairan laut hitam Romania itu?

Adakah mereka mampu pulang sekiranya jika benar pihak pengurusan kapal ingin mengheret mereka kepada pihak berkuasa tempatan?

Persoalan itu bermain dalam minda penulis hingga menjentik rasa simpati lalu berusaha membantu sedaya mungkin.

Desakan hidup, dan mahu menikmati kehidupan mewah menyebabkan masyarakat kita mudah terpedaya dengan tawaran gaji lumayan.

Bagi mereka yang tidak berfikir panjang, akan menerima tawaran, tanpa memikirkan kesahihan organisasi atau syarikat yang menawarkan pekerjaan.

Adakah apa yang berlaku di Romania merupakan kes terakhir rakyat Sarawak yang dianiaya?

Yang pasti, apa yang telah berlaku ini wajar dijadikan pengajaran untuk rakyat di negeri ini yang beria-ia untuk bekerja di luar negara.

Jangan mudah ‘termakan umpan’ gaji besar.