KUCHING: Perkhidmatan taska dan tadika dibuka bukan untuk mengaut keuntungan sematamata sebaliknya ia adalah untuk memupuk minat pengusaha dalam membimbing dan mendidik kanak-kanak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkhidmatan membuka operasi taska atau tadika bukan sahaja memfokuskan mengenai perniagaan yang boleh mengaut keuntungan besar.

“Ia adalah mengenai bagaimana minat para pengusaha membimbing kanak-kanak tersebut dengan penuh kasih sayang dan perhatian agar ia dapat merangsang pemikiran kanak-kanak dengan aktiviti yang disediakan.

“Perkhidmatan yang mereka berikan turut memberi manfaat kepada ramai masyarakat iaitu ibu bapa lebih-lebih lagi pada barisan hadapan seperti doktor dan sektor tertentu,” katanya semasa memantau operasi Taska Bimbingan Cahaya baru-baru ini.

Fatimah berkata, taska dan tadika adalah perkhidmatan keperluan bagi ibu bapa yang bekerja dan tidak dapat menjaga anak mereka.

“Perkhidmatan yang ditawarkan di taska dan tadika ini penting untuk ibu bapa yang bekerja dan membolehkan mereka meraih pendapatan dalam menyara keluarga mereka.

“Ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti mereka dalam bekerja kerana mereka tahu anak-anak sudah dijaga dalam keadaan yang selamat dan persekitaran yang berkualiti,” katanya.

Mengulas mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Taska Bimbingan Cahaya Kuching, Fatimah menjelaskan bahawa beliau sangat berpuas hati dengan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan taska tersebut.

“Dalam mengambil langkah berjaga-jaga, sebahagian daripada SOP yang telah ditetapkan adalah kakitangan dan ibu bapa wajib mengisi borang deklarasi kesihatan iaitu ia akan dibuat pada setiap hari.

“Bagi ibu bapa dan ahli keluarga yang mempunyai pergerakan ke kawasan berisiko tinggi dan merupakan individu dalam siasatan (PUI) atau individu dalam pengawasan (PUS), taska tersebut juga tidak akan membenarkan kanak-kanak dihantar,” ujarnya.

Jelas Fatimah, pemantauan ke taska ini juga adalah untuk memantau bilangan kanak-kanak yang hadir ke taska supaya mereka tidak beroperasi dengan kapasiti penuh dan turut memastikan setiap peralatan dicuci dengan bersih setiap hari bagi memastikan keselamatan dan kebersihan dijaga.

Dalam pada itu, Fatimah turut menyarankan ibu bapa mematuhi SOP semasa berada di rumah atau di luar kerana ia akan mengundang risiko kepada anak-anak mereka.

Sehubungan itu, Fatimah turut menyatakan bahawa jumlah taska dan tadika beroperasi di zon merah sebanyak 160 buah dengan jumlah kanak-kanak sebanyak 1,770. “Manakala bagi zon kuning iaitu Miri dan Limbang adalah sebanyak 62 taska dengan jumlah kanak-kanak seramai 1,498.

“Zon hijau pula adalah 108 dengan jumlah 2,245 kanak-kanak,” katanya. Manakala Penyelia Taska Bimbingan Cahaya, Eileen Soon berkata, beliau bersyukur kerana pembukaan taska membolehkan ibu bapa menghantar anak mereka ke tempat yang sepatutnya.

“Jika kami tidak beroperasi, kemungkinan kanak-kanak ini akan dihantar ke tempat asuhan lain yang tidak mempunyai lesen dan sebagainya dan kita juga tidak pasti adakah mereka mematuhi SOP yang sepatutnya.

“Justeru, saya sangat berterima kasih kepada kakitangan saya yang bertugas kerana mereka semua mempunyai tujuan yang sama dalam menjaga dan membimbing anak-anak,” jelasnya kepada media.

Katanya, sekitar empat keluarga yang terjejas tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke taska dan terpaksa menarik diri serta mengambil alih untuk menjaga anak mereka sendiri.

“Namun, kanak-kanak tersebut menunjukkan sedikit masalah pertuturan dan keperluan tertentu dan saya rasa kanak-kanak tersebut tidak boleh berada di rumah.

“Sekiranya ibu bapa mereka tidak keberatan menghantarnya ke taska kembali, kami semua sudah bersedia untuk melepaskan semua yuran kerana kami mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak tersebut,” jelasnya.