SESETENGAH orang berpendapat jika kita ingin melihat perwatakan atau gaya kehidupan seseorang, cubalah untuk mengikuti dan berkawan dengannya di alam maya.

Sekiranya anda ingin melihat watak seseorang, cubalah untuk mengetahui siapa dia sebenarnya di media sosial.

Tidak kurang ada majikan yang cuba menyiasat latar belakang calon pekerja dengan melihat apa yang mereka kongsi dan paparkan di media sosial.

Menurut bancian elektronik yang diusahakan organisasi Hootsuit dan We Are Social pada 2018, dianggarkan sebanyak 24 juta penduduk di Malaysia merupakan pengguna aktif media sosial.

Tambahan pula, generasi kita merupakan generasi yang ketagih media sosial dengan sebilangan besar mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun pengguna atau setidak-tidaknya menggunakan akaun palsu seperti Instagram, Twitter mahupun Facebook kerana rangkaiannya melangkau segenap benua.

Kebiasaannya kita melihat semua orang kelihatan begitu menarik dalam dunia maya ini, apa sahaja yang dilakukan, pergi ke mana, apa yang dimakan, semua akan dikongsi dan dipamerkan di media sosial.

Boleh dikatakan ia menjadi cermin kepada setiap individu kerana sering menyiarkan gaya hidup dan aktiviti seharian mereka.

Tidak kurang juga yang sengaja berkongsi diari kehidupan seharian dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kekayaan serta kebahagiaan.

Ada juga yang ingin mendapat perhatian dan dihargai orang luar melalui tanda suka atau komen.

Namun, tindakan tersebut akhirnya menyebabkan seseorang individu kehilangan hakikat sebenar kehidupan.

Malah ada yang cuba menunjukkan betapa lebih baik kehidupannya daripada yang lain dengan memalsukan perkara sebenar.

Sebagai contoh, sebilangan individu hanya berlakon dan bersandiwara dengan berbohong di media sosial mengenai kehidupan sebenar mereka seperti taraf pendidikan, pekerjaan, status perkahwinan, gaya hidup dan sebagainya hingga lupa siapa diri mereka sebenarnya.

Di media sosial juga kita melihat seseorang mempunyai banyak rakan dan pengikut tetapi di dunia nyata, mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak kawan.

Di dunia nyata, si wira papan kekunci itu mungkin jarang atau tidak pernah ke masjid dan tidaklah alim sebagaimana penulisannya.

Namun di alam maya, dia gemar menulis berkaitan agama dengan bahasa yang memaparkan ilmu agama yang tinggi.

Di media sosial, gambar seseorang individu yang biasanya sangat cantik, mulus, langsing; seolah-olah sempurna.

Hakikatnya, muka berjerawat, tubuh berisi dan wajah biasa-biasa sahaja.

Tidak kurang ada yang sering menyumpah seranah, marah, menghina, mengadu mengenai seseorang atau sesuatu dan melakukan hasut maya.

Namun di dunia nyata dia sebenarnya tidak seberani itu, malah sebenarnya seorang pengecut yang mahukan perhatian.

Mereka ini boleh dikatakan hampir melupakan kehidupan sebenar dan lebih menghargai kehidupan di dunia maya berdasarkan jumlah suka yang diterima melalui status, kenyataan, foto dan video yang dikongsi kerana di platform itu mereka mendapat perhatian yang diinginkan.

Justeru, pada pendapat penulis untuk kita mengenali dan menilai seseorang itu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada media sosial bagi mendapat gambaran sebenar seseorang. Ini bukan kayu ukur sebenar – dan dikatakan semua pengguna platform ini tidak menunjukkan identiti sebenar mereka.

Ia boleh diibaratkan panggung wayang yang menjadi pentas lakonan sesetengah individu, sandiwara di media sosial ini kadang-kala mengalahkan filem Hollywood mahupun Bollywood – semuanya demi menggumpul ribuan tanda suka dan komen pujian.

Dalam dunia hari ini, kecanggihan teknologi, membolehkan ramai memiliki dua identiti, satu peribadi di media sosial dan satu peribadi sebenar.

Tetapi harus diingat, kepalsuan di media sosial ini sebenarnya sering mengakibatkan kemurungan, kesunyian dan tekanan kerana setiap hari berlaku pertandingan untuk membuktikan diri lebih baik daripada yang lain sekali gus menjurus kepada masalah mental yang serius dan masalah kesihatan yang lain.

Sehubungan itu, bagi mengurangkan tekanan psikologi ini kita mesti fokus kepada kehidupan sebenar daripada media sosial dengan memperbaiki gaya hidup ke arah lebih sihat.

Dalam hal ini, keluarga harus memainkan peranan dalam mengawal penggunaan media sosial seperti hadkan pengunaan alat peranti pada masa dan tempat tertentu sahaja.

Ibu dan ayah mesti menunjukkan tauladan yang baik dengan menggunakan media sosial secara sihat serta meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.

Di peringkat sekolah pula, wajar diterangkan cara menggunakan media sosial dengan betul dan selamat serta diketengahkan pentingnya kesedaran kesihatan mental yang berkaitan dengan isu yang dibincangkan ini.