KUCHING: Pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan di Sarawak mulai 28 November ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata, ia termasuk operasi kelab malam, pub, pusat karaoke dan refleksologi sehingga tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

“Bagaimanapun, sektor lain-lain dibenarkan untuk beroperasi tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan semasa PKPP.

“Ini termasuk masa operasi bagi semua aktiviti adalah dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya menerusi kenyataan harian mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambahnya, JPBN Sarawak mengingatkan semua pemilik premis yang dibenarkan beroperasi menjalankan tanggungjawab dengan memastikan segala SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH) semasa tempoh PKPP dipatuhi sepenuhnya.

“Sehubungan itu, bagi kemasukan ke Sarawak, tatacara yang dikeluarkan sebelum ini masih dikekalkan,” tegasnya.

Sebagai rekod, hari ini juga Daerah Kuching telah bertukar status daripada Jingga kepada Kuning dengan jumlah keseluruhan 18 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lalu.