BINTULU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Muhibah bertambah kepada 137 orang, melibatkan 46 keluarga berbanding 128 dengan 43 keluarga, awal pagi tadi.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam (APM) Leftenan Ra’idah Jomi ketika dihubungi memberitahu bilangan tersebut dijangka akan terus meningkat berikutan kenaikan paras air.

Beliau berkata pihaknya difahamkan pihak bomba dan APM sedang dalam proses memindahkan mangsa terjejas dari kawasan lain ke PPS terbabit.

Bagaimanapun, jumlah dan kawasan terlibat belum diketahui.

Sehingga jam 4 petang, hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Stadium Muhibah, di sini.