MIRI: Seorang lelaki di sini menjadi mangsa terbaharu sindiket pelaburan yang tidak wujud selepas rugi sekitar RM11,720 dalam tiga transaksi pemindahan wang dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, mangsa telah memindahkan wang secara dalam talian sebanyak RM500, RM4,500 dan RM6,720 ke dalam satu akaun bank sindiket.

Menurutnya, pada 4 November lalu sekitar jam 7 malam, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki bernama Zi Qing melalui aplikasi Facebook.

“Zi Qing menawarkan kepada pengadu pakej pelaburan wang yang menjanjikan pulangan lumayan dengan Syarikat Masegold United,” katanya.

Sekitar jam 8.34 malam hari yang sama, pengadu menerima mesej WhatsApp dari satu nombor yang memperkenalkan diri sebagai Peter dari Syarikat Masegold United.

“Peter bertanyakan kepada pengadu sama ada masih berminat dengan pakej pelaburan yang diceritakan oleh rakannya kepada pengadu sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Meng Seah kemudian menambah, sindiket menerusi Peter memberitahu pengadu bahawa dia akan menolong pengadu untuk membuka satu akaun pelaburan dan Peter akan menolong pengadu bayar sebanyak RM2,500.

Bagaimanapun, pengadu sendiri kena membuat bayaran sebanyak RM500 manakala pihak syarikat akan membantu membayar modal pendahuluan kepada pengadu sebanyak RM1,000.

“Peter memberitahu kepada pengadu bahawa modal pelaburan RM4,000 ini akan mendapat pulangan 30 peratus dalam tempoh sebulan,” jelasnya.

Terpengaruh dengan pujukan dan pulangan keuntungan berganda, mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM500 secara dalam talian ke dalam satu akaun bank atas nama Maureen Teo sekitar jam 10.50 pada 8 November lalu.

Pada 22 November, sekitar jam 10.00 malam, pengadu menghantar mesej kepada Peter bahawa dia mahu menutup akaun pelaburan kerana tidak berminat dengan pelaburan itu lagi.

“Bagaimanapun, Peter menjelaskan kepada pengadu, jika ingin menutup akaun pelaburan, pengadu perlu membuat pembayaran sebanyak RM4,500.

“Malah Peter memberitahu mangsa bahawa modal pelaburan RM500 dan bayaran RM4,500 untuk proses tutup akaun pelaburan serta komisen untung pelaburan pengadu untuk beberapa hari akan dikembalikan kepada pengadu.

Namun sekitar jam 10.50 malam dua hari kemudian (24 November), pengadu telah membuat pindahan wang secara dalam talian sebanyak RM4,500 ke dalam satu akaun bank atas nama Jeremiah Ang.

Tidak terhenti di situ, sindiket terus menipu mangsa apabila Peter memberitahu bahawa akaun pelaburan pengadu telah ditutup dan syarikat dalam proses mengembalikan semula wangnya.

“Bagaimanapun, sindiket menjelaskan wang tersebut telah ditahan oleh pihak kerajaan dan pengadu dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM6,720 terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah tersebut,” jelasnya.

Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat pemindahan wang pada hari seterusnya pada jam 7.49 malam sebanyak RM6,720 ke dalam satu akaun bank atas nama Jeremiah Ang.

Pada 26 November sekitar jam 12.39 tengah hari, pengadu telah dihubungi semula oleh Peter dan dikehendaki membuat bayaran SST sebanyak RM7,180 untuk proses mengembalikan semua wang pengadu.

“Bagaimanapun, pengadu tidak mahu membuat bayaran lagi kerana menyedari dirinya telah ditipu sindiket.

“Pengadu telah membuat satu laporan polis petang Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata Lim Meng Seah.