KUCHING: Peniaga di negeri ini digalak mewujudkan sistem pemasaran produk melalui e-Dagang, kata Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak Sarimah Misman .

Menurutnya, urus niaga secara digital memberikan kesan positif kepada pendapatan negara dan ramai usahawan telah berjaya melalui platform tersebut.

“Malah kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2017 mendapati perusahaan di negara telah menjana sebanyak RM398 bilion untuk tahun 2015 dengan 16 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan tersebut adalah daripada urus niaga e-Dagang.

“Sehubungan itu, MPC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk mewujudkan kesedaran dan menerapkan budaya kualiti, produktiviti dan inovasi bagi meningkatkan daya saing syarikat terutama pada waktu pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program perkongsian Skim Peningkatan Produktiviti Enterprise (SPPE) 2020 siri ketiga anjuran MPC Sarawak secara maya melalui aplikasi Webinar di sini, Khamis.

Bercakap mengenai program tersebut katanya, syarikat yang menyertai program geran SPPE 2020 telah melaksanakan pelbagai program pembangunan sistem transformasi seperti persekitaran berkualiti, kecemerlangan perniagaan, pendigitalan, Amalan Pengilangan Baik (GMP), MyGap dan lain-lain.

“Tempoh program dijalankan adalah antara empat hingga enam bulan merangkumi latihan, khidmat nasihat dan bimbingan selain berperanan sebagai platform perkongsian maklumat antara pengusaha yang membawa kepada pembentukan budaya produktiviti dan inovasi.

“Program ini bertujuan memberi motivasi kepada pengusaha mempelajari teknik dan tip perniagaan daripada pemilik syarikat yang telah berjaya melonjakkan produktiviti syarikat melalui pelaksanaan geran SPPE ini,” ujarnya.

Program tersebut turut menyaksikan dua pengusaha iaitu Fitriah Rahbi dari RFM Global Corporation dan Hartini Zailani dari Heartinis Sdn Bhd berkongsi pengalaman mereka menjalankan projek pembangunan sistem dalam bidang pengurusan lean dan pendigitalan yang fokus kepada mewujudkan laman sesawang dan pemasaran produk melalui e-Dagang.

Beliau berharap peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh melalui program tersebut di tempat kerja masing-masing dan percaya ia mampu memberikan impak kepada produktiviti dan kualiti syarikat bukan hanya di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat global.