BINTULU: Seramai 128 mangsa daripada 43 keluarga di kawasan Kidurong dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Stadium Muhibah selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat lewat malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bintulu Jack Aman Luat berkata tiga kawasan terlibat masing-masing ialah Kidurong Avenue, penempatan setinggan Sungai Sebatang dan Sungai Plan.

Menurutnya, PPS Stadium Muhibah diisytiharkan dibuka pada jam 1.39 pagi bagi menempatkan semua mangsa terjejas.

“Selain itu kita juga akan membuka Balai Raya Assyakirin sebagai pusat pemindahan sementara sekiranya ada keperluan,” ujarnya yang juga Residen Bahagian Bintulu ketika ditemui semasa memantau situasi banjir di beberapa kawasan di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Jack meminta semua agensi terlibat supaya sentiasa dalam keadaan siap siaga dari aspek logistik dan bantuan am sebagai persediaan menghadapi musim peralihan angin Monsun timur laut.

Hujan lebat yang turun seawal 7.30 malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sini dinaiki air.

Tinjauan di kawasan perumahan Taman Matahari di Jalan Tanjung Kidurong antara yang terjejas teruk akibat limpahan air longkang ke atas jalan raya.

Tinjauan rambang mendapati longkang sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang banyak akibat hujan lebat bermula jam 7.30 malam tadi.

Keadaan tersebut menyebabkan banjir kilat sekali gus menjejaskan pergerakan kenderaan.

Kelihatan beberapa petugas penguatkuasa Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turut berada di lokasi bagi memantau keadaan.

Turut terjejas kawasan perumahan Gem Park, Taman Jason, Kampung Kemunting, Kampung Kuala Segan, Kampung Jepak, RPR Sebiew, RPR Sibiyu dan banyak lagi.

Jack meninjau situasi banjir kilat di sekitar Bintulu.